DARAHKU SELAMANYA BERSAMAMU
Oleh Aiman Asyraf Zulkifle
“AZMAN, apa yang kamu buat
ni?”
“Apa yang ayah
mengarut ni?” Azman bersiul. Dia tak mau mengendahkan ayahnya.
“Azman, kau tak takut
tuhankah? Engkau tahu apa yang kau buat ni haram,” marah Pak Sulaiman.
“Tak seronoklah ayah
ni. Asyik membebel. Macam burung murai. Mungkin ketika ayah berada dalam
kandungan, nenek ada terpijak burung murai kot. Sebab tu ayah suka sangat
membebel.”
Pap. Satu penampar
hinggap di pipinya. “Azman, kau dah melampau. Kau berani pulang ke rumah dalam
keadaan mabuk. Aku mahu kau keluar sekarang.”
Pak Sulaiman menuding
ke arah pintu – menunjukkan jalan keluar. Wajahnya hampa. Matanya berkaca.
“Dunia ni memang tak
adil. Manusia tak boleh pilih ibu bapa mereka. Kenapa hidup aku begitu malang?”
Azman menghempas pintu.
Pak Sulaiman tidak
dapat lagi menahan rasa sebak di atmanya. Dia begitu tertampar dengan kata-kata
anaknya. Dia tetap menyalahkan dirinya sendiri. Walau sejahat manapun anaknya,
hubungan antara seorang ayah dan anak tidak akan terputus. Darah yang mengalir dalam
tubuh lelaki itu tetap darah yang sama dengannya. Air matanya jatuh berjuraian.
Aku menyesal. Aku tak
patut halau dia. Aku hanya ada dia seorang sahaja dalam hidup aku. Aku cuma ada
pertalian darah dengan dia di dunia ini. Maafkan aku Fatimah. Aku tak dapat
membesarkan dia dengan baik. Aku telah menghampakan kau.
Guruh berdentum. Hujan
turun dengan lebat. Langit sungguh gelap dilitupi awan. Cahaya Sang Rembulan
sudah tidak kelihatan. Azman berjalan terus di sepanjang jalan yang tidak
berturap itu. Dia sudah tidak mabuk selepas ditampar oleh ayahnya. Segala yang
diluahkan oleh mulutnya adalah perasaan yang disimpannya sejak ibunya dibunuh
oleh seorang pembunuh bersiri. Dia terus menyalahkan ayahnya kerana tidak
menyelamatkan ibunya walakin dia seorang polis.
Pengalaman pahit itu
tidak mudah untuk ditelannya. Tiga belas tahun sudah berlalu. Dia masih tidak
dapat menerimanya kerana kejadian itu sudah menyebabkan dia menjadi anak yatim
selama tiga belas tahun. Kasih bapa tidak sama dengan kasih yang dicurahkan
oleh seorang ibu. Dia sudah hilang tempat untuk mengadu – tempat untuk
berkongsi suka dan duka – pahit dan manis – tangis dan ketawa.
Ayah tak akan faham.
Inilah sebab aku cari keseronokan. Aku mahu lupakan segala keperitan yang aku
rasai selama ini. Aku dah tak sanggup menahan seksa ini lagi.
Azman ternampak sebuah
pondok usang. Dia bergegas menghampiri pondok itu untuk berteduh. Dia
melabuhkan tubuhnya. Tangannya digunakan untuk mengalas kepalanya. Dia nekad
dia tak akan kembali ke rumah itu lagi. Dia akan mencari jalan hidupnya
sendiri. Hidup ini tidaklah susah sangat. Kita hanya perlu pandai curi peluang.
Betul tak?
Dia terlelap.
Kegelapan menyelubunginya.
Pak Sulaiman tidak
dapat melelapkan mata pada malam itu. Dia masih risau tentang Azman. Walaupun
Azman sudah berumur 19 tahun, fikirannya belum matang. Dia masih belum sedia
untuk menghadapi kehidupan di luar sana. Pak Sulaiman terus menunggu di muka
pintu sambil mulutnya terkumat-kamit berdoa tanpa henti. Dia yakin Azman akan
pulang.
Cahaya matahari yang
menembusi tingkap memancar terus ke matanya. Azman membuka matanya. Dia berada
di dalam sebuah bilik yang mewah. Dia melihat ke arah jam tangannya. Jarum
pendek menghala tepat ke arah nombor 11
menandakan sudah pukul 11 pagi. Dia bangkit dari tidur. Dia menoleh ke
sebelahnya. Ada seorang gadis masih tidur di sebelahnya.
“Abang dah bangun?”
Gadis berambut ikal mayang itu bersuara.
“Ya, sayang.” Azman
mendekatkan dirinya lalu mencium pipi gadis itu dengan penuh kasih sayang
walaupun mereka berdua tidak mempunyai hubungan yang sah. Mereka telah hidup
bersama selama 15 tahun. Mereka turut mempunyai seorang anak. Mereka langsung
tidak risau dengan tanggapan orang lain. Bagi mereka, tiada yang mustahil dalam
dunia ini dengan adanya duit – segalanya boleh dibeli. Bagi menutup aib mereka,
mereka telah memalsukan rekod perkahwinan mereka.
Azman meninggalkan
katil lalu bersiap. Dia perlu berjumpa seseorang dengan seseorang hari ini. Usai
bersarapan dengan beberapa keping roti, dia keluar daripada banglo mewahnya.
Kereta berjenama Ferrarinya dipandu laju ke pusat bandar Kuala Lumpur. Dia
memberhentikan keretanya berhampiran sebuah pusat snuker. Beberapa orang lelaki
berbangsa Cina menyambut kedatangannya.
“Man, apa cerita?”
Tangan dihulurkan untuk bersalaman.
“Life is so wonderful.” Azman menyambut salam itu. Mereka berdua
ketawa berdekah-dekah.
“Kau memang pandai
dalam kerja-kerja kotor ni,” puji Wong.
“Wong, hidup ini
memang penuh dengan kotoran. Walau sebersih manapun sesuatu itu, pasti akan
menjadi kotor apabila terkena kotoran. Hidup ini sungguh mudah. Sesiapa yang
pandai curi peluang, dialah yang akan berada di puncak. Sebab itu aku menyertai
golongan majoriti. Golongan minoriti tak akan dapat meruntuhkan empayar kita,”
balas Azman.
“Aku suka cara kau
berfikir. Penuh dengan wawasan. Aku memang tidak tersilap kerana menawarkan tugas
ini kepada kau mula-mula kau tiba di bandar dulu.”
“Sudahlah berfikir
tentang kisah silam. Kita sekarang rakan kongsi. Kita tak akan ke mana-mana
jika kita terperangkap dalam kenangan masa silam,” tegas Azman.
“Haha, kamu memang tak
boleh bersabar jika sesuatu itu membabitkan business
kita. Relakslah dulu.”
Wong menuangkan arak
ke dalam dua buah gelas. Satu gelas diambilnya dan satu lagi gelas dihulurkan
kepada Azman. Mereka berdua minum arak itu sehingga licin. Kemudian, keadaan
menjadi hening. Mata mereka saling bertentangan. Tiba-tiba muka Wong berubah
menjadi serius.
“Aku rasa sudah tiba
masanya untuk kita meluaskan perniagaan kita ke negeri lain,” cadang Wong.
“Aku setuju.”
“Dan aku rasa sudah
tiba masanya untuk melibatkan anak lelaki kau dalam perniagaan kita,” cadang
Wong lagi.
Muka Azman berubah.
Dahinya berkerut. “Aku tak akan libatkan anak aku dalam kerja kotor kita,”
marah Azman. Dia menghentak meja.
“Hey, relakslah. Kau
akan dapat keuntungan berganda. Ayah dan anak lebih mudah berurusan,” terang
Wong.
“Maafkan aku, Wong.
Jika ini perkara penting yang ingin kau sampaikan, aku bantah. Aku tak mahu
anak aku menjadi keldai dadah seperti aku. Aku mahu anak aku membesar dengan
sempurna. Biar dia berdikari dan pilih jalan hidupnya sendiri.” Azman berdiri.
Matanya menikam tajam ke dalam mata Wong. Kemudian, dia berjalan ke arah pintu
untuk beredar dari tempat itu.
“Bapak borek anak
rintik. Suatu hari nanti dia akan menjadi seperti kau, Azman. Hanya masa yang
menentukan.” Wong ketawa – jahat. Mungkin dia ada muslihat dia sendiri.
Azman menghentak pintu
dengan kuat – marah. Selepas Azman beredar, Wong berbisik kepada pembantunya.
Dia tersenyum sinis.
Azman memandu
keretanya pulang ke rumahnya. Dia mengambil jalan pintas. Malangnya, hasratnya
tidak tercapai. Kesesakan lalu lintas berlaku akibat kemalangan jalan raya.
Setelah dua jam terperangkap dalam kesesaskan itu, akhirnya dia tiba ke rumah. Pintu
hadapan rumahnya sudah terbuka luas. Hatinya berasa kurang senang.
Azman bergegas ke
bilik tidurnya. Darah merah mengalir dari katil. Anaknya, Arif memeluk rapat
tubuh isterinya, Julia. Azman menggigil. Tubuhnya terasa amat lemah. Dia jatuh
melutut ke bumi. Tanpa disedari, air matanya jatuh berjuraian.
“Ayah, ke mana ayah
pergi sewaktu mak betul-betul memerlukan ayah?” kata Arif perlahan. Perasaan
sebak menguasai dirinya.
Azman terus mendiamkan
diri. Dia masih terkesima – masih belum dapat menghadam apa yang sedang
berlaku.
“Ayah jahat! Ayah
punca segala ini! Ayah yang menyebabkan mak terbunuh!” marah Arif.
Arif meninggalkan
tubuh ibunya yang sudah terkulai tiak bernyawa dan berlari keluar daripada
rumah. Dia tidak dapat menerima apa yang telah menimpanya. Dia tak mahu ingat
lagi tentang peristiwa pahit itu. Dia bersumpah bahawa dia tidak akan kembali
lagi ke rumah itu.
Tiga bulan berlalu.
Azman hidup dalam kemurungan. Dia langusng tidak keluar daripada rumah. Arif
langsung tidak pulang ke rumah. Entah ke mana dia telah pergi membawa dirinya
yang lara. Apabila Azman termenung sendirian, dia pasti akan ketawa sendirian.
“Hahaha. Bapak borek,
anak rintik. Betul apa yang kau cakap Wong. Apa yang menimpa aku adalah perkara
yang sama aku lakukan kepada ayah aku dahulu.” Dia tersenyum puas. “Aku patut
dengar nasihat ibu aku. Bumi itu bulat, apa yang kita lakukan akan kembali
kepada kita. Sudah terlambat untuk aku berpatah balik. Hidup ini sudah tidak
seronok lagi. Semuanya telah musnah. Aku sudah gagal.”
Tiba-tiba, pintu
rumahnya dipecahkan. Sekumpulan anggota polis merempuh masuk ke dalam rumah.
“Azman, kamu ditahan atas tuduhan terlibat dengan sindiket pengedaran dadah.”
Azman telah diberkas
oleh pihak polis dan dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. Dia mendedahkan
segala maklumat berkenaan Wong kepada pihaki polis. Dia rasa bahawa tiada apa
lagi yang perlu dirahsiakannya. Hidupnya telah musnah akibat tindakannya yang
tidak bertanggungjawab. Dia memang patut menerima hukuman. Dia lebih sanggup
mati daripada menghadapi seksaan dunia sekarang. Kehadirannya cuma mengundang
musibah kepada masyarakat sekitarnya.
Maklumat yang
diberikannya kepada pihak polis telah membantu pihak polis menumpaskan Wong dan
keldai-keldai dadahnya. Wong dan rakan-rakan kongsinya telah dihukum bunuh
kecuali Azman. Pihak polis tidak menjumpai bukti yang kukuh mengenai
penglibatan Azman dalam perniagaan haram itu. Azman telah dibebaskan. Rasa
leganya tidak bertahan lama. Hidupnya semakin menyedihkan apabila dia mendapat
berita bahawa anaknya telah mati akibat jangkitan HIV.
Bagi menghiburkan
hatinya yang lara, Azman pulang ke rumah ayahnya untuk menziarahi kubur
ayahnya. Sejak dia meninggalkan rumah itu, dia langsung tidak kembali. Bahkan,
dia terpaksa bertanya kepada orang-orang kampung mengenai lokasi ayahnya
bersemadi.
Air matanya mengalir
tatkala dia terlihat nama ayahnya yang terukir pada batu nisan. Dia memeluk
batu nisan ayahnya. “Ayah, maafkan Azman, ayah. Sekarang baru Man tahu bahawa
Man salah. Man tak sepatutnya tinggalkan ayah. Man tak septutnya melukakan hati
ayah pada malam itu. Man berdosa kepada ayah. Maafkanlah Man, ayah. Man hidup
merana sekarang. Man tahu Man derhaka kepada ayah. Ampunkan Man, ayah. Ayah….”
Dia menangis
teresak-esak tak ubah seperti seorang bayi. Dia begitu menyesal. Tetapi tiada
gunanya menyesal di kemudian hari. Masa tak akan berputar kembali. Air mata
darah tak dapat mengubah apa-apa.
“Ya Allah, berikanlah
peluang kedua kepadaku.”
Azman membuka matanya.
Nafasnya tercungap-cungap. Dadanya turun naik dengan laju. Dia melilau ke
sekelilingnya. Hujan masih belum reda. Dia masih berada di pondok usang itu.
Dia menyeka air matanya. Dia beristighfar diikuti dengan ucapan Alhamdulillah
menyatakan rasa syukur. Dia bersyukur segala yang berlaku hanya sebuah mimpi –
mimpi yang paling ngeri yang pernah dialaminya. Dia tak mahu hidup berakhir
dengan penyesalan. Dia sedar bahawa dia tak patut bertindak mengikut perasaan.
Kata-kata arwah ibunya
terngiang-ngiang semula di telinganya. “Dalam dunia ini kita diberi
bermacam-macam pilihan. Ada pilihan yang baik dan ada yang buruk. Hanya ada
satu perkara yang dapat mebezakan kedua-dua pilihan ini. Pilihan yang
berlandaskan emosi dan perasaan adalah pilihan yang salah. Pilihan yang betul
adalah pilihan yang dibuat berlandaskan akal fikiran manusia. Itulah kelebihan
yang Allah kurniakan kepada manusia.”
Terima kasih ibu.
Selama ini aku telah memilih jalan yang salah. Aku hanya menjerumuskan diri aku
sendiri ke dalam perangkap yang aku buat sendiri. Aku tak patut membantah cakap
ayah. Ayah tahu apa yang terbaik untuk diri aku. Fikiran aku belum cukup matang
untuk menentukan pilihan yang terbaik untuk aku sendiri.
Azman merenung ke
langit yang gelap. Hujan terus turun dengan galak tanpa menuujukkan tanda untuk
berhenti. Azman berpatah balik ke rumah. Dia nekad untuk mengubah pendiriannya.
Dia mahu berubah menjadi seorang yang berguna. Dia mahu menjalani kehidupan
yang bahagia. Dia tak mahu hidup dalam bayangannya sendiri lagi. Dalam
kegelapan malam itu, dia sudah dapat melihat cahaya di hadapannya. Cahaya itu
datang daripada muka pintu rumahnya. Satu bayang dapat dilihatnya berada di
muka pintu. Seseorang yang setia menantinya pulang ke rumah.
Azman terus berlari
sepantas mungkin dan mendakap Pak Sulaiman. Air matanya jatuh berjuraian.
“Ampunkan Man, ayah. Man janji Man akan berubah. Man tak akan ulang lagi apa
yang Man buat hari ni. Maafkan Man, ayah,” Azman merayu memohon keampunan.
Segala kata-katanya diluahkan dari lubuk hatinya.
Pak Sulaiman turut
mendakap anaknya. Mana mungkin ada ayah yang tidak sayang akan anaknya.
“Selamat pulang anakku.” Pak Sulaiman juga tidak dapat lagi menahan perasaan
sebaknya. Dia terus menangis di samping anaknya.
Hujan berhenti.
Sinaran Sang Rembulan kembali kelihatan bersama kerlipan beribu-ribu bintang di
angkasa. Semuanya bersinar bagaikan mereka sedang memerhatikan dua beranak itu.
Naluri seorang ayah
atau ibu memang sentiasa betul. Pak Sulaiman memang sudah menjangka bahawa
Azman akan pulang semula. Dan dia sanggup menunggu anaknya pulang waima sampai
ke akhir hayatnya sekalipun. Air dicencang tidak akan putus. Pertalian darah
antara manusia tidak akan putus walau selama manapun mereka berjauhan.
Sejak peristiwa hari
itu, Azman benar-benar telah berubah. Dia sudah menjauhkan dirinya daripada
perkara-perkara yang haram. Dia mula mendalami agama dengan lebih lanjut.
Malah, dia juga telah melanjutkan pelajarannya ke Universiti al-Azhar
semata-mata mahu mendalami ilmu agama. Dia telah menjadi seorang manusia yang
berguna kepada masyarakat – penuh ilmu di dada. Dia juga seorang hamba yang
taat dengan suruhan Rabbul Izzati dan seorang anak yang taat akan ayahnya.
Pak Sulaiman dapat
bersemadi dengan tenang kerana dai telah berjaya mencapai hasratnya dan hasrat
arwah isterinya. Dia telah berjaya mendidik anaknya menjadi seorang anak yang
soleh – anak yang dapat mendoakan kesejahteraan ibu dan bapanya. Setelah tamat
pengajian di Universiti al-Azhar, Azman memilih untuk mengejar cita-citanya.
Dia mahu mencontohi kehebatan ayahnya yang menjadi seorang ayah yang amat hebat
– membesarkan anak tanpa bantuan isteri. Dia mengikut jejak ayahnya dengan
menjadi seorang pegawai polis.