Sunday 30 November 2014

Antara Dunia

ANTARA DUNIA
Oleh Aiman Asyraf Zulkifle


Dunia antara dunia,
Sama tidak serupa,
Kau bukan aku,
Dan aku bukan kau,
Mana mungkin dunia bersatu.

Antara dua dunia,
Tiada serupa semua berbeza,
Engkaulah langit,
Akulah bumi,
Mana mungkin kita bertemu.

Manusia antara manusia,
Rambut sama hitam,
Mata sama hitam, 
Hati tiada serupa.

Antara dunia,
Dalam mimpi yang berbeza,
Dalam dugaan yang ditimpa,
Dalam tangis dan juga tawa,
Dalam pahit dan juga duka,
Hanya Dia tahu duniamu.

Masa Itu Anugerah

MASA ITU ANUGERAH
Oleh Aiman Asyraf Zulkifle


Masa
Masa ada bahgia
Masa ada duka
Masa ada gembira
Masa ada derita
Masa ada pertemuan
Masa ada perpisahan
Kerana masa insan ketawa
Kerana masa insan menangis

Masa
Takkan kupersiakan masaku
Masa yang pergi tidak akan kembali
Masa yang datang tidak akan menanti
Sebelum tiba masaku pergi

Akan kunikmati segala masaku

Menyesal

MENYESAL
Oleh Aiman Asyraf Zulkifle


Andai kutahu
Badanku tidak kekal
Akan ksolat lima waktu
Kini aku menyesal

Andai kutahu
Pintu taubat terbuka
Selagi badan termampu
Selagi hati terbuka
Akan kumenghadap ke hadrat-Mu
Kini sudah terlambat

Andai kutahu
Izril menantiku
Akan kuberubah
Akan kutebus dosaku

Kini aku menyesal
Memang benar kata orang
Menyesal kemudian tidak berguna

Kini aku menyesal
Apabila dibayangi dosa-dosaku
Tak dapat kualirkan air mataku
Kerana segalanya sudah terlamb

Sinar

SINAR
Oleh Aiman Asyraf Zulkifle


Sinar pagi
Menjenguk bilkku
Mengejutkan aku di pagi hari
Untuk beribadah kepada-Mu

Sinar cahaya
Menyinari jalanku
Menghilangkan rasa ketakutan
Yang membelenggu jiwaku

Sinar kurnia
Menyinari hidupku
Menghilangkan kegelapan diriku
Supaya tidak akan aku tersesat

Segala sinar kurniaan-Mu
Segala petunjuk untukku
Hanya datang daripada-Mu

Allah tuhanku yang Esa

Sang Buaya Darat

SANG BUAYA DARAT
Oleh : AIMAN ASYRAF ZULKIFLE

MERENUNG jauh ke dada langit nan biru. Peristiwa lalu yang sering menghantuinya masih segar di ingatan. Peristiwa di mana dia telah menghancurkan kehidupan seorang insan bergelar manusia. Tetapi apakan daya, nasi telah menjadi bubur. Tidak akan dapat dia memaafkan dirinya sendiri. Segalanya kerana darjat, reputasi dan keegoan diri sendiri, tetapi akhirnya hanya penyesalan yang terbuku di dalam hati insan yang bernama Rizal ini.
            Rizal tidak dapat mengecapi ketenangan walaupun hidupnya kini melimpah ruah dengan harta dan kekayaan apabila mewarisi syarikat ayahnya setelah pemergian ayahnya buat selama-lamanya. Dia melabuhkan tubuhnya ke atas katilnya yang sungguh empuk sekali. Matanya dipejamkan. Nafasnya ditarik sedalam-dalamnya. Fikirannya mula menerawang jauh ke dalam kotak fikirannya. Dosa silamnya mula membayangi fikirannya.
            Rizal merupakan seorang yang diminati ramai gadis semenjak zaman persekolahan lagi. Maklumlah seorang yang segak, tampan, bergaya ditambah pula anak orang kaya. Memang satu set lengkap.  Semuanya bermula di sebuah restoran yang sering menjadi tempat lepaknya.
            “Bang, kenapa Ayang tengok Abang macam runsing hari ni? Langsung tak tegur Ayang. Abang ada kekasih baru eh?” Perempuan yang duduk di hadapan Rizal memuncungkan bibirnya dan berpaling ke arah lain.
            “Mana ada. Abang kan dah cakap yang Abang hanya cintakan Ayang. Tak ada orang lain selain Lisa dalam hati abang. Abang cuma fikir tentang kerja rumah yang cikgu beri di sekolah tadi,” Rizal cuba memujuk. Roman mukanya berubah serta-merta menjadi tenang. Tangan Lisa digenggam erat lalu digosok-gosok dengan lembut. “Alaa, Ayang janganlah merajuk. Nanti abang belikan hadiah.”
            Kata-kata manis Rizal berjaya menambat semula hati Lisa. Lisa tersenyum ke arah Rizal. Lisa menghulurkan jari kelingkingnya. “Janji?”
            “Janji.” Kelingking mereka berkait. Rizal tersenyum lega. Nasib baik Lisa masih termakan pujukannya walaupun telah berkali-kali merajuk. Alangkah indahnya hidup sekiranya mempunyai harta yang melimpah ruah, itulah yang sering difikirkan oleh Rizal. Dia tidak cakna apa-apa sekalipun tentang hati dan perasaan orang lain – asalkan hatinya puas.
            Setelah membayar wang di kaunter, mereka berdua melangkah keluar daripada restoran itu lalu Rizal menunggang motosikalnya dan membonceng Lisa di belakangnya. Rizal memecut laju di atas tar seperti jalan itu hanya kepunyaannya seorang diri tanpa menghiraukan pengguna jalan raya yang lain. Motosikalnya berhenti tepat di hadapan rumah Lisa. Lisa turun daripada motosikal itu lalu melambai ke arahnya. Lambaian itu bersambut. Lisa menghampiri Rizal semula lalu mencium pipinya sebelum berlari anak masuk ke dalam rumah.
            Kemudian, Rizal melencong ke satu lagi tempat lepaknya – sebuah pondok berdekatan rumah sahabat karibnya. Kehadirannya disambut oleh rakan-rakannya. “Apa hal? Aku tengok kau dah macam kerang busuk,” perli Haris yang sedang menelentang di pondok itu.
            Rizal tersipu-sipu mendekati Haris lalu melabuhkan punggungnya di lantai pondok itu. “Alaa, buat tak tahu pula. Rutin harian. Dating lah.”
            Haris tersenyum ke arah Rizal. Senyumannya sudah dibaca Rizal. Hendak perli aku lagi. Tak puas-puas lagi dia ni. Kalau tak perli aku lima kali dalam sehari mesti tak sah. Aku tengok dia ni rasa macam nak tumbuk pun ada, bentak hatinya geram.
            “Dengan minah mana pulak hari ni? Julia? Nora? Rozita?” Senyuman Haris semakin sinis. Dia bangun dan duduk di sisi Rizal.
            “Itu kisah lama, usah diungkitkan kembali. Sekarang aku couple dengan Lisa. Dia gadis paling mantap dan menggiurkan di sekolah. Memang terbaik.” Ibu jarinya diangkat seiring dengan keningnya.
            “Ya lah tu. Dulu kau pun kata perkara yang sama tentang bekas-bekas ‘mangsa’ engkau.”
            Rizal mengetap bibirnya. Hatinya semakin geram. Pedas sungguh kata-kata yang terkeluar daripada mulut Mamat ni. Kalau aku ni orang cepat tangan, dah lama arwah orang macam dia ni.
            “Itu dulu. Mereka dah lapuk, dah usang. Aku kena bergerak seiring dengan arus kemajuan dan perkembangan negara kita. Sentiasa ke hadapanlah katakan,” balas Rizal selamba. Dia sedar bahawa kenyataannya langsung tidak berkaitan dengan topik yang sedang dibicarakan tetapi sudah terlajak kata, tidak boleh ditarik kembali.
            “Buaya darat macam engkau mana reti hargai insan yang bergelar wanita. Mereka semua cuma mainan kau semata-mata.”
            “Dah tahu tak apa. Jangan banyak tanya. Engkau pun tahu aku siapa. Aku Muhammad Rizal bin Yahya, makhluk Allah yang paling kacak dan tampan….”
            “Pada masa kini,” Haris memotong kata-kata Rizal.
            Rizal menarik muka masam. Dia bagaikan faham apa yang ingin disampaikan oleh Haris. Tetapi hatinya yang keras menambahkan keegoan di dalam dirinya.
            “Kenapa? Masih nak menafikan lagi kekacakan aku?” Rizal meninggikan sedikit suaranya yang garau.
            “Manusia yang paling kacak ialah Nabi Yusuf a.s. Siapalah engkau jika nak dibandingkan dengannya,” tegas Haris. Dia amat mengambil berat tentang agama Allah yang telah diutuskan untuk manusia sejagat. Senakal-nakal manapun Haris, dia masih tetap ada pendirian dalam dirinya.
            Sudah berkali-kali Haris cuba untuk menasihati Rizal. Namun begitu, nasihatnya dibuang begitu sahaja. Masuk ke telinga kanan, keluar ke telinga kiri begitulah keadaan dirinya setiap kali diberi nasihat oleh Haris. Dia masih cuba untuk membuatkan Rizal insaf. Dia memohon agar Rizal diberi hidayah yang ternyata hanya hak milik Allah SWT dan hanya akan diberikan kepada makhluk yang diingininya sahaja.
            “Lantak engkaulah nak cakap apa-apa pun,” Rizal menutup mulutnya. Dia tahu dia tidak dapat menandingi Haris jika bercakap tentang agama.
            “Kau tu bukannya kacak sangat pun.”
            Rizal membuka semula mulutnya. “Aku rasa hati semua gadis dekat sekolah kita cair bila tengok aku.” Rizal mengurut dagunya. Perasaan riak dan bangga diri semakin membuak-buak di atmanya.
            “Engkau memang suka masuk bakul, angkat sendiri. Cuba tengok si Balqis tu. Dia mana ada syok pada kau.”
            “Apa? Si ‘ustazah’ tu? Budak kelas sebelah yang bertudung labuh tu?”
            “Engkau pasti gagal menambat hati dia.”
            Eh, nak main-main dengan aku lagi si Haris ni. Tak habis-habis nak kutuk aku. Aku dah rasa loya dengar kutukan dan nasihat dia ni, bisik hati Rizal marah. Dia mengangkat punggungnya lalu menaiki motosikalnya. “Ini Rizal. Belum cuba, belum tahu,” kata Rizal sebelum berlalu meninggalkan Haris.
            Rizal memecut laju menuju ke rumah sebelum kemarahannya terhadap Haris menguasai dirinya. Dari jauh kelihatan bapanya sudah menunggunya di hadapan rumah sambil menelaah dokumen-dokumennya. Haris meletakkan motosikalnya dan menghampiri ayahnya sambil tersenyum.
            “Berhenti di situ,” marah ayahnya. Roman muka Rizal berubah. Persepsinya mula berubah. Ayahnya berdiri di hadapannya dengan marah. “Bukankah ayah sudah berpesan kepada kamu supaya memakai topi keledar ketika menunggang motosikal?”
            Rizal terdiam. Dia alpa akan nasihat ayahnya itu. Hatinya masih keras, telinganya masih tebal. Tanpa menghiraukan kata-kata ayahnya, dia tunduk dan terus berlalu masuk ke biliknya.
*****
            “Tengok, dia sedang termenung seorang diri. Cubalah kacau kalau berani,” perli Haris lagi.
            Pandangan mereka berdua tertumpu pada seorang gadis bertudung labuh yang sedang duduk seorang diri di kantin sekolah. Gadis itu tidak lain dan tidak bukan adalah Balqis. Mukanya yang putih berseri, bulu matanya lentik disertakan pula sifatnya yang bersopan santun dan lemah lembut seperti gadis Melayu terakhir yang menyerlahkan keayuannya sehingga boleh mencairkan hati jejaka-jejaka yang memandangnya.
            “Tengok cara orang pakar buat,” Rizal memetik jarinya lalu mendekati Balqis.
            Haris hanya memandangnya dari jauh. Rizal duduk di hadapan Balqis. Wah, apabila tengok dia ni dari jarak dekat comel juga. Tak sangka aku tak perasan ada gadis secomel ni di sekolah ni, bisik hati kecil Rizal.
            “Hai, baca buku apa?”
            Balqis mendiamkan diri dan terus membaca novelnya. Hatinya berdegup kencang. Dia tidak mahu menghiraukan buaya darat itu. Dia membelek novelnya ke muka surat seterusnya.
            “Alaa, jual mahal pula.”
            Balqis terus mendiamkan diri. Keimanannya yang kuat langsung tidak tergugat dengan godaan Rizal yang terus menikamnya dengan pandangan mata yang tajam. Cuma hatinya yang berdegup semakin kencang membuatkannya menjadi berdebar. Mukanya semakin ditundukkan untuk mengelak daripada renungan Rizal.
            Rizal semakin berminat untuk mendekati Balqis. Dia cuba untuk memegang tangan Balqis namun terus disentap Balqis dengan marah. “Apa ni? Jangan kacau saya!” marah Balqis. Balqis mengangkat tubuhnya dan beredar meninggalkan Rizal.
            Rizal tersenyum sinis. “Tiada gadis yang boleh terlepas daripada Rizal. Aku tidak akan menyerah kalah, tidak sesekali. Kau akan jatuh hati pada aku nanti, Balqis. Tunggu dan lihat.”
            Haris semakin risau akan sikap Rizal. Renungan Rizal yang merenung Balqis dengan tajam disertakan pula dengan riak wajahnya yang seperti dirasuk setan. Kepalanya digeleng dan bibirnya diketap rapat. Dia cuba untuk menghampiri Rizal.
            Kehadirannya tidak diingini oleh Rizal. Dia sudah berasa jengkel dengan Haris. Cukup sudah segala kutukan, perlian dan nasihat yang didengarinya. Dia terus menjauhkan diri daripada rakannya itu.
            Haris menghentikan langkahnya. Dia dapat membaca gerak-geri Haris sebelum berlalu pergi. Rizal sudah alpa dengan segala nikmat yang diperolehnya. Adakah ini semua kerana kesalahanku. Adakah aku gagal melaksanakan tugas sebagai seorang sahabat yang sepatutnya membimbingnya ke arah kebaikan? Hati Haris berbisik penuh kesal.
            Rizal mempercepatkan langkahnya mengekori Balqis. Matanya melilau-lilau mencari arah Balqis menghilangkan diri. Murid lain mula berasa curiga terhadapnya. Matanya yang tajam memandang ke sekeliling membuatkan murid lain berasa tidak senang dengan kehadirannya. Langkahnya terhenti di hadapan sebuah kelas, kemudian disambung semula tetapi melangkah masuk ke dalam kelas itu dan menghampiri gadis yang menjadi sasarannya. Balqis terus menundukkan muka.
            “Balqis, saya minta maaf. Saya tahu perbuatan saya salah. Saya terlalu ikutkan hawa nafsu saya. Saya mahu berubah. Bimbinglah saya. ”
            Balqis tersentak. Matanya membulat. Mukanya diangkat memandang ke arah Rizal. “Apa awak kata?”
            “Bimbinglah saya. Saya mahu kembali ke pangkal jalan. Jalan yang mendapat keredhaan Allah yang Maha Esa.” Mukanya penuh kesal.
            Balqis menutup novel yang sedang dibacanya. “Betulkah apa yang saya dengar daripada awak datang daripada hati? Ataupun hanya bicara yang dikeluarkan oleh lidah yang tajam?”
            “Betul. Saya sumpah atas nama Allah SWT.” Tangannya diangkat tanda sumpah.
            Balqis tersenyum. Seri wajahnya semakin menyerlah dengan kehadiran lesung pipit yang manis di pipinya. “Alhamdulillah,” dia mengucap kalimah syukur. “Kita jumpa petang nanti.”
            Rizal melangkah keluar dari kelas itu dan kembali ke kelasnya. Dia tersenyum sinis. Licik. Semuanya angkara godaan syaitan yang dilaknat Allah.
*****
            Rizal dan Balqis duduk bertentang mata di perpustakaan sekolah. Di hadapan mereka terbentang sebuah buku bertajuk ‘Travelog Hidayah’ karya Muhammad Rashidi Abdullah. Ternyata buku itu tidak mungkin kepunyaan Rizal.
            Balqis amat bersungguh-sungguh mengajar Rizal mendalami Islam. Seperti seorang pendakwah, bicaranya begitu lancar tanpa ada sebarang keraguan dalm setiap kata-kata yang diungkapkan. Matanya hanya tertumpu pada ‘anak murid’nya. Hatinya begitu ikhlas mengajar makhluk Allah itu.
            Namun, berbeza pula perkara yang sedang difikirkan oleh Rizal. Matanya khusyuk memandang Balqis yang ayu itu tetapi segala yang disampaikan oleh Balqis langsung tidak diendahkannya. Fikirannya menguasai dirinya. Dia khusyuk berada di alamnya sendiri.
            Tiba-tiba, bicara Balqis terhenti. Pandangannya tertumpu pada sepasang mata milik Rizal. Dia sangsi dengan difikirkan oleh Rizal. “Apa yang awak termenung jauh ni?”
            Rizal tersentak. Dia cuba menahan malu dengan mencari alasan. “Alangkah beruntungnya lelaki yang dapat isteri macam awak. Ayu, comel, sopan santun, lemah lembut dan beragama.”
            Muka Balqis berona merah. Dia tersipu-sipu malu. Memang padan dengan sikapnya yang pemalu. Dia menutup mukanya menahan malu. Hatinya mula berdegup kencang. Rasanya dia sudah jatuh hati pada Rizal. Dia yakin Rizal memang sudah berubah.
            “Sanggupkah awak menjadi teman saya untuk sepanjang hidup saya? Hanya awak yang dapat membimbing saya menjauhkan diri daripada kegelapan yang sudah lama menghantui diri saya.”
            Balqis sungguh terkejut. Dia tidak menyangka kata-kata begitu akan diluahkan oleh mulut Rizal. Memang sudah lama dia memerhatikan Rizal. Dia tahu masih ada kebaikan di dalam diri buaya darat itu. Tetapi bukan ini yang dijangkanya. Hatinya mula mencair.
            Akhirnya mulut manis Rizal berjaya menambat hati ‘ustazah’ itu. Memang buaya darat. Apakah yang akan dilakukannya selepas ini?
*****
            Haris melepak seperti biasa di pondok berhampiran rumahnya – merenung jauh ke langit ciptaan Ilahi sambil mulutnya terkumat-kamit berzikir memohon kekuatan daripada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Kadangkala air matanya berjuraian jatuh apabila terkenang dosanya tatkala bertafakur sendirian. “Ya Allah, aku hanyalah hamba-Mu yang lemah. Berikanlah kekuatan kepadaku untuk mentarbiah hamba-Mu yang telah tersimpang jauh daripada keredhaan-Mu.”
            Terasa bahunya disentuh. Dia menoleh ke belakang. Hanya daun yang gugur menyapa bahunya. Hatinya hampa kerana disangkanya Rizal yang menyapanya. Sudah beberapa hari Rizal menjauhkan diri daripadanya. Dia terkesima beberapa ketika. Kemudian kepalanya digaru. Diikuti pula badannya. Dia berguling-guling sambil menggaru-garu badannya sebelum bajunya dicabut. Terkena kerengga rupanya.
            Lantas Haris memecut ke tasik berdekatan dan terjun ke dalamnya. Badannya masih digaru dengan kuat. Haris masih meronta-ronta seperti kera kena belacan. Kulitnya menjadi kemerah-merahan dan berbintil-bintil. Pakaiannya sudah basah lencun. Pasti dia akan dimarahi ibu bapanya nanti.
            Tiba-tiba matanya tertumpu pada satu sudut yang dapat dilihatnya dengan jelas. Seorang lelaki dan seorang gadis bersandar pada penghadang jalan sambil berbual mesra. Wajah mereka tidak dapat dilihat kerana mereka sedang membuntuti Haris tetapi motosikal Lagenda yang berada di hadapan mereka kelihatan seperti biasa dilihatnya. Nalurinya untuk mengambil tahu mendorongnya menghampiri pasangan itu.
            Perlahan-lahan Haris mendekati pasangan yang sedang asyik berbual itu. Sesekali pipi si gadis dicubit manja, kadang-kadang rambutnya yang hitam pekat dibelai lembut. Mesra sungguh mereka berdua. Haris memanjangkan lehernya untuk mengetahui identiti mereka. Gadis itu berjalan mendekati motosikal Lagenda itu. Tiba-tiba lelaki itu memalingkan mukanya ke belakang.
*****
            “Balqis,” Haris menyapa Balqis. Tangannya dilambai perlahan-lahan.
            “Oh, Haris. Ada apa?” Senyuman terukir di bibirnya.
            Sudah lama mereka tidak bersua muka. Ketika mereka kecil, mereka merupakan kawan rapat yang sering berada bersama. Patutlah kedua-duanya berpegang teguh pada agama. Mungkin kematangan akal fikiran mereka menyebabkan mereka malu berada bersama sekarang.
            “Apa yang Rizal sudah lakukan kepada awak?” kata Haris risau. Dia memang prihatin terhadap rakan-rakannya.
            “Dia cuma beritahu bahawa dia hendak berubah. Alhamdulillah Allah telah memberikan hidayah kepadanya.”
            Haris mengerutkan dahinya. Rumit. Apakah plot yang sedang dimainkan oleh Rizal? Adakah dia sudah benar-benar berubah? Atau ini semua hanya permainan untuk menghiburkan hatinya?
            “Saya rasa awak patut tahu bahawa Rizal ditimpa kemalangan. Dia cedera parah dan sedang menerima rawatan di hospital.”
            Balqis terkejut. Dia membaca doa ketika ditimpa musibah. Dia kelihatan amat risau. Matanya kelihatan kasihan. “Apa yang sudah berlaku sebenarnya?”
            “Dia dirempuh lori. Betul-betul di hadapan mata saya. Saya boleh trauma jika diingatkan semula tentang kejadian itu.”
“Maaf. Boleh awak bawa saya berjumpa dia petang nanti?”
            “Sudah tentu.”
*****
            “Macam mana? Masih sakit?”
            “Tentulah. Nasib baik pemandu lori itu sempat brek.” Mukanya penuh kesal. “Ayang risau tentang Abang?”
            “Tentulah. Ayang akan datang melawat Abang setiap hari. Ayang janji.” Rambutnya dibelai Rizal dengan lembut. Lisa tersenyum manja. “Ayang nak ke tandas sebentar.” Lisa mengangkat punggungnya dan keluar daripada wad itu.
            Beberapa ketika selepas itu, dua wajah yang dikenalinya menghampirinya. Mereka berdua menyapa Rizal dengan lembut. “Bagaimana keadaan awak sekarang?” Balqis membuka bicara.
            “Saya sudah bertambah baik. Terima kasih kerana datang menziarahi saya.”
            “Saya amat terkejut apabila mendapat tahu bahawa awak ditimpa kemalangan. Apa yang yang berlaku sebenarnya? Haris beritahu bahawa kemalangan itu berlaku betul-betul di hadapan sepasang matanya tetapi dia tidak mahu menceritakan perkara yang berlaku kepada saya.” Haris hanya diam dan memerhati.
            “Saya menunggang motosikal menuju ke pondok berdekatan rumah Haris. Apabila saya turun daripada motosikal, sebuah lori datang entah dari mana merempuh saya. Saya beruntung kerana lori itu sempat brek. Jika tidak sudah tentu badan saya sudah hancur. Betul tak Haris?”
            Mereka berdua mengalih pandangan ke arah Haris. Haris terus membisu. Penipu, bentak hatinya. Dia melangkah meninggalkan mereka berdua walaupun risau apabila meninggalkan Balqis bersama buaya darat itu. Haris berselisih dengan seorang gadis yang berambut lurus berwarna hitam. Wajah gadis itu dapat dicam olehnya. Lisa.
            “Saya tengok awak risau benar tentang saya.”
            “Tentulah. Awak adalah kawan saya. Mestilah saya ambil berat.”
            Rizal terdiam sebentar. Menyusun kata-kata manis yang bakal diungkapkan kepada Balqis. “Tapi saya anggap awak lebih daripada seorang kawan. Awak telah mengajar saya banyak perkara. Saya telah jatuh hati pada awak. Saya cintakan awak seorang sahaja. Hanya awak seorang, Bal…,” kata-katanya terhenti.
            “Ulang apa yang Abang katakan tadi?”
            “Abang cuma berbual-bual dengan Balqis, Ayang.” Dia mula berpeluh. Dia sedar dia sudah tersilap kata. Keadaan mula tegang.
            “Abang? Ayang? Apa semua ni?” Balqis berlari meninggalkan Rizal. Dia menekup mukanya menghalang tangisannya dilihat orang ramai namun tetap disedari oleh Rizal. Balqis berlari keluar daripada wad itu.
            Kehadiran Balqis bersama tangisannya disedari Haris. “Balqis,” Haris cuba memanggil Balqis namun Balqis terus berjalan laju. Haris cuba mengejar Balqis.
            “Ayang janganlah marah,” Rizal terus berlakon untuk mempertahankan dirinya. Pap, satu penampar hinggap di mukanya.
            “Usah menipu saya lagi.” Itulah kata-kata terakhir Lisa sebelum keluar ke wad. Mungkin dia hendak pulang ke rumah. Rizal mula berasa kesal.
            Balqis menyedari Haris mengejarnya, dia mempercepatkan langkahnya. Akhirnya, Haris berjaya menahan Balqis apabila Balqis sampai ke luar hospital. Lengan Balqis digenggam erat.
            “Balqis, apa yang terjadi?”
            “Rizal… dia telah… memperdayakan saya,” kata Balqis tersekat-sekat. Dia terus mengalirkan air mata.
            “Persis dengan gelaran buaya darat,” marah Haris.
            Kemudian, pandangan Haris beralih pada seorang gadis yang berdiri tegak di atas bumbung hospital. “Lisa!” Haris menarik tubuh Balqis ke jalan raya.
            Jeritannya tidak bersambut. Langkahnya terhenti. Lisa terus terjun dari atas bumbung hospital itu. Di situlah penamat bagi riwayat hidup Nur Lisa binti Amran.
            Tiba-tiba kedengaran bunyi hon yang kuat. Haris tidak sempat mengelak. Dia hanya sempat menolak badan Balqis ke tepi. Kemudian, hanya kegelapan menyelubungi dirinya.
            “Haris!” laung Balqis. Tidak sempat untuknya berdiri semula, satu lagi bunyi hon yang kuat kedengaran sebelum dia pergi bersama Haris.
*****
            Rizal tersedar daripada lamunannya. Dia baru tersedar bahawa air matanya mengalir dengan sendirinya. Ada sesuatu yang baru diingatnya kembali. Lantas dia bangun lalu memakai pakaiannya. Dia bergegas mendapatkan kunci keretanya.

            Keretanya dipandu ke sebuah tanah perkuburan. Dia menghadap tiga buah rakannya itu. “Tiada apa yang dapat aku lakukan lagi. Aku cuma dapat sedekahkan surah Al-Fatihah kepada kalian. Aku telah banyak berdosa kepada kalian. Tak mungkin dapat kalian memaafkan kesalahanku.” Air matanya mengalir laju. Rasa sebak menyerang atmanya. “Hari ini aku menziarahi kubur kalian untuk memperingati genap satu tahun kalian meninggalkan aku.”

Maafkan Aku

MAAFKAN AKU
Oleh Aiman Asyraf Zulkifle

Segala isi hati yang ku pendamkan,
Akan ku luahkan,
Segala rahsia diriku yang tersimpan,
Akan ku ceritakan.

Sajak ini sajak yang terakhir buatmu,
Ingin ku perbetulkan segalanya,
Walaupun sudah terlewat,
Ku tetap berdosa padamu.

Simpanlah segala nasihatku,
Dan jadikannya sebagai pedoman,
Semoga kau kan menjumpai,
Seseorang yang lebih baik daripadaku.

Maafkan aku,
Aku pergi tanpa meninggalkan kata,
Aku pergi tanpa mengotakan janji,
Aku pergi hilang selamanya,
Aku pergi tidak mungkin kembali.

Maafkan aku,
Aku takut bersemuka denganmu,
Aku malu bersua denganmu,
Aku segan berada bersamamu.
Kerna aku seorang pengecut.

Andai masa dapat ku putar,
Akan ku lakukan segalanya,
Akan ku tinggalkan kenangan manis untukmu,
Akan ku lakukan segalanya untukmu.

Hanya satu yang ku pinta darimu,
Sanggupkah kau mengampunkanku,
Dan terimaku semula di hatimu,

Walau sebagai seorang sahabat.

Keranamu Tanah Airku

KERANAMU TANAH AIRKU
Oleh Aiman Asyraf Zulkifle


Keranamu
Kami hidup bahagia
Bersama keluarga tercinta

Keranamu
Kami masih di sini
Dari generasi ke generasi
Menyambung salasilah dan keturunan

Keranamu
Nyawa menjadi taruhan
Darah kami tumpah
Segala-galanya keranamu

Wahai tanah airku
Akan kami pertahankan dirimu
Dari segala ancaman musuh

Kerana kami cinta tanah air kami

Aku Cinta Padamu

AKU CINTA PADAMU
Oleh Aiman Asyraf Zulkifle


Andai dapat kuberanikan diri
Akan kubersua denganmu
Agar dapat kuungkapkan
Kata-kata manis untukmu

Andai dapat kuberanikan diri
Akan kubersemuka denganmu
Agar dapat kulihat wajahmu
Yang ayu lagi menawan

Namu
Aku seorang penakut
Aku seorang pengecut
Hanya dapat kulihatnu
Pergi dibawa orang

Andai dapat kuundurkan masa
Akan kukatakan padamu
“Aku cinta padamu

sejak dari dulu”

Abangku

ABANGKU
Oleh Aiman Asyraf Zulkifle

Baru seperti semalam,
Aku mengenalimu,
Namun kini engkau pergi,
Tidak akan kembali.

Walaupun darah berlainan,
Hanya saudara seagama,
Akan ku tetap,
Merinduimu selalu.

Tiada lagi abangku,
Tiada lagi tempat mengadu,
Tiada lagi pembela diriku,
Tiada lagi tegur nasihatmu,
Tiada lagi penawar hatiku,
Tiada lagi senyum manismu.

Tidak sempat aku menimba ilmu darimu,
Walaupun itu yang kuinginkan selalu,
Tidak sempat aku meminta maaf darimu,
Setelah banyak dosa kulakukan terhadapmu.

Masa telah memisahkan kita,
Tatkala teringatkan dirimu,
Air mataku mengalir laju,

Engkaulah abangku selama-lamanya.