Sunday 12 October 2014

Darahku Selamanya Bersamamu

DARAHKU SELAMANYA BERSAMAMU
Oleh Aiman Asyraf Zulkifle

“AZMAN, apa yang kamu buat ni?”
“Apa yang ayah mengarut ni?” Azman bersiul. Dia tak mau mengendahkan ayahnya.
“Azman, kau tak takut tuhankah? Engkau tahu apa yang kau buat ni haram,” marah Pak Sulaiman.
“Tak seronoklah ayah ni. Asyik membebel. Macam burung murai. Mungkin ketika ayah berada dalam kandungan, nenek ada terpijak burung murai kot. Sebab tu ayah suka sangat membebel.”
Pap. Satu penampar hinggap di pipinya. “Azman, kau dah melampau. Kau berani pulang ke rumah dalam keadaan mabuk. Aku mahu kau keluar sekarang.”
Pak Sulaiman menuding ke arah pintu – menunjukkan jalan keluar. Wajahnya hampa. Matanya berkaca.
“Dunia ni memang tak adil. Manusia tak boleh pilih ibu bapa mereka. Kenapa hidup aku begitu malang?” Azman menghempas pintu.
Pak Sulaiman tidak dapat lagi menahan rasa sebak di atmanya. Dia begitu tertampar dengan kata-kata anaknya. Dia tetap menyalahkan dirinya sendiri. Walau sejahat manapun anaknya, hubungan antara seorang ayah dan anak tidak akan terputus. Darah yang mengalir dalam tubuh lelaki itu tetap darah yang sama dengannya. Air matanya jatuh berjuraian.
Aku menyesal. Aku tak patut halau dia. Aku hanya ada dia seorang sahaja dalam hidup aku. Aku cuma ada pertalian darah dengan dia di dunia ini. Maafkan aku Fatimah. Aku tak dapat membesarkan dia dengan baik. Aku telah menghampakan kau.
Guruh berdentum. Hujan turun dengan lebat. Langit sungguh gelap dilitupi awan. Cahaya Sang Rembulan sudah tidak kelihatan. Azman berjalan terus di sepanjang jalan yang tidak berturap itu. Dia sudah tidak mabuk selepas ditampar oleh ayahnya. Segala yang diluahkan oleh mulutnya adalah perasaan yang disimpannya sejak ibunya dibunuh oleh seorang pembunuh bersiri. Dia terus menyalahkan ayahnya kerana tidak menyelamatkan ibunya walakin dia seorang polis.
Pengalaman pahit itu tidak mudah untuk ditelannya. Tiga belas tahun sudah berlalu. Dia masih tidak dapat menerimanya kerana kejadian itu sudah menyebabkan dia menjadi anak yatim selama tiga belas tahun. Kasih bapa tidak sama dengan kasih yang dicurahkan oleh seorang ibu. Dia sudah hilang tempat untuk mengadu – tempat untuk berkongsi suka dan duka – pahit dan manis – tangis dan ketawa.
Ayah tak akan faham. Inilah sebab aku cari keseronokan. Aku mahu lupakan segala keperitan yang aku rasai selama ini. Aku dah tak sanggup menahan seksa ini lagi.
Azman ternampak sebuah pondok usang. Dia bergegas menghampiri pondok itu untuk berteduh. Dia melabuhkan tubuhnya. Tangannya digunakan untuk mengalas kepalanya. Dia nekad dia tak akan kembali ke rumah itu lagi. Dia akan mencari jalan hidupnya sendiri. Hidup ini tidaklah susah sangat. Kita hanya perlu pandai curi peluang. Betul tak?
Dia terlelap. Kegelapan menyelubunginya.
Pak Sulaiman tidak dapat melelapkan mata pada malam itu. Dia masih risau tentang Azman. Walaupun Azman sudah berumur 19 tahun, fikirannya belum matang. Dia masih belum sedia untuk menghadapi kehidupan di luar sana. Pak Sulaiman terus menunggu di muka pintu sambil mulutnya terkumat-kamit berdoa tanpa henti. Dia yakin Azman akan pulang.
Cahaya matahari yang menembusi tingkap memancar terus ke matanya. Azman membuka matanya. Dia berada di dalam sebuah bilik yang mewah. Dia melihat ke arah jam tangannya. Jarum pendek  menghala tepat ke arah nombor 11 menandakan sudah pukul 11 pagi. Dia bangkit dari tidur. Dia menoleh ke sebelahnya. Ada seorang gadis masih tidur di sebelahnya.
“Abang dah bangun?” Gadis berambut ikal mayang itu bersuara.
“Ya, sayang.” Azman mendekatkan dirinya lalu mencium pipi gadis itu dengan penuh kasih sayang walaupun mereka berdua tidak mempunyai hubungan yang sah. Mereka telah hidup bersama selama 15 tahun. Mereka turut mempunyai seorang anak. Mereka langsung tidak risau dengan tanggapan orang lain. Bagi mereka, tiada yang mustahil dalam dunia ini dengan adanya duit – segalanya boleh dibeli. Bagi menutup aib mereka, mereka telah memalsukan rekod perkahwinan mereka.
Azman meninggalkan katil lalu bersiap. Dia perlu berjumpa seseorang dengan seseorang hari ini. Usai bersarapan dengan beberapa keping roti, dia keluar daripada banglo mewahnya. Kereta berjenama Ferrarinya dipandu laju ke pusat bandar Kuala Lumpur. Dia memberhentikan keretanya berhampiran sebuah pusat snuker. Beberapa orang lelaki berbangsa Cina menyambut kedatangannya.
“Man, apa cerita?” Tangan dihulurkan untuk bersalaman.
Life is so wonderful.” Azman menyambut salam itu. Mereka berdua ketawa berdekah-dekah.
“Kau memang pandai dalam kerja-kerja kotor ni,” puji Wong.
“Wong, hidup ini memang penuh dengan kotoran. Walau sebersih manapun sesuatu itu, pasti akan menjadi kotor apabila terkena kotoran. Hidup ini sungguh mudah. Sesiapa yang pandai curi peluang, dialah yang akan berada di puncak. Sebab itu aku menyertai golongan majoriti. Golongan minoriti tak akan dapat meruntuhkan empayar kita,” balas Azman.
“Aku suka cara kau berfikir. Penuh dengan wawasan. Aku memang tidak tersilap kerana menawarkan tugas ini kepada kau mula-mula kau tiba di bandar dulu.”
“Sudahlah berfikir tentang kisah silam. Kita sekarang rakan kongsi. Kita tak akan ke mana-mana jika kita terperangkap dalam kenangan masa silam,” tegas Azman.
“Haha, kamu memang tak boleh bersabar jika sesuatu itu membabitkan business kita. Relakslah dulu.”
Wong menuangkan arak ke dalam dua buah gelas. Satu gelas diambilnya dan satu lagi gelas dihulurkan kepada Azman. Mereka berdua minum arak itu sehingga licin. Kemudian, keadaan menjadi hening. Mata mereka saling bertentangan. Tiba-tiba muka Wong berubah menjadi serius.
“Aku rasa sudah tiba masanya untuk kita meluaskan perniagaan kita ke negeri lain,” cadang Wong.
“Aku setuju.”
“Dan aku rasa sudah tiba masanya untuk melibatkan anak lelaki kau dalam perniagaan kita,” cadang Wong lagi.
Muka Azman berubah. Dahinya berkerut. “Aku tak akan libatkan anak aku dalam kerja kotor kita,” marah Azman. Dia menghentak meja.
“Hey, relakslah. Kau akan dapat keuntungan berganda. Ayah dan anak lebih mudah berurusan,” terang Wong.
“Maafkan aku, Wong. Jika ini perkara penting yang ingin kau sampaikan, aku bantah. Aku tak mahu anak aku menjadi keldai dadah seperti aku. Aku mahu anak aku membesar dengan sempurna. Biar dia berdikari dan pilih jalan hidupnya sendiri.” Azman berdiri. Matanya menikam tajam ke dalam mata Wong. Kemudian, dia berjalan ke arah pintu untuk beredar dari tempat itu.
“Bapak borek anak rintik. Suatu hari nanti dia akan menjadi seperti kau, Azman. Hanya masa yang menentukan.” Wong ketawa – jahat. Mungkin dia ada muslihat dia sendiri.
Azman menghentak pintu dengan kuat – marah. Selepas Azman beredar, Wong berbisik kepada pembantunya. Dia tersenyum sinis.
Azman memandu keretanya pulang ke rumahnya. Dia mengambil jalan pintas. Malangnya, hasratnya tidak tercapai. Kesesakan lalu lintas berlaku akibat kemalangan jalan raya. Setelah dua jam terperangkap dalam kesesaskan itu, akhirnya dia tiba ke rumah. Pintu hadapan rumahnya sudah terbuka luas. Hatinya berasa kurang senang.
Azman bergegas ke bilik tidurnya. Darah merah mengalir dari katil. Anaknya, Arif memeluk rapat tubuh isterinya, Julia. Azman menggigil. Tubuhnya terasa amat lemah. Dia jatuh melutut ke bumi. Tanpa disedari, air matanya jatuh berjuraian.
“Ayah, ke mana ayah pergi sewaktu mak betul-betul memerlukan ayah?” kata Arif perlahan. Perasaan sebak menguasai dirinya.
Azman terus mendiamkan diri. Dia masih terkesima – masih belum dapat menghadam apa yang sedang berlaku.
“Ayah jahat! Ayah punca segala ini! Ayah yang menyebabkan mak terbunuh!” marah Arif.
Arif meninggalkan tubuh ibunya yang sudah terkulai tiak bernyawa dan berlari keluar daripada rumah. Dia tidak dapat menerima apa yang telah menimpanya. Dia tak mahu ingat lagi tentang peristiwa pahit itu. Dia bersumpah bahawa dia tidak akan kembali lagi ke rumah itu.
Tiga bulan berlalu. Azman hidup dalam kemurungan. Dia langusng tidak keluar daripada rumah. Arif langsung tidak pulang ke rumah. Entah ke mana dia telah pergi membawa dirinya yang lara. Apabila Azman termenung sendirian, dia pasti akan ketawa sendirian.
“Hahaha. Bapak borek, anak rintik. Betul apa yang kau cakap Wong. Apa yang menimpa aku adalah perkara yang sama aku lakukan kepada ayah aku dahulu.” Dia tersenyum puas. “Aku patut dengar nasihat ibu aku. Bumi itu bulat, apa yang kita lakukan akan kembali kepada kita. Sudah terlambat untuk aku berpatah balik. Hidup ini sudah tidak seronok lagi. Semuanya telah musnah. Aku sudah gagal.”
Tiba-tiba, pintu rumahnya dipecahkan. Sekumpulan anggota polis merempuh masuk ke dalam rumah. “Azman, kamu ditahan atas tuduhan terlibat dengan sindiket pengedaran dadah.”
Azman telah diberkas oleh pihak polis dan dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. Dia mendedahkan segala maklumat berkenaan Wong kepada pihaki polis. Dia rasa bahawa tiada apa lagi yang perlu dirahsiakannya. Hidupnya telah musnah akibat tindakannya yang tidak bertanggungjawab. Dia memang patut menerima hukuman. Dia lebih sanggup mati daripada menghadapi seksaan dunia sekarang. Kehadirannya cuma mengundang musibah kepada masyarakat sekitarnya.
Maklumat yang diberikannya kepada pihak polis telah membantu pihak polis menumpaskan Wong dan keldai-keldai dadahnya. Wong dan rakan-rakan kongsinya telah dihukum bunuh kecuali Azman. Pihak polis tidak menjumpai bukti yang kukuh mengenai penglibatan Azman dalam perniagaan haram itu. Azman telah dibebaskan. Rasa leganya tidak bertahan lama. Hidupnya semakin menyedihkan apabila dia mendapat berita bahawa anaknya telah mati akibat jangkitan HIV.
Bagi menghiburkan hatinya yang lara, Azman pulang ke rumah ayahnya untuk menziarahi kubur ayahnya. Sejak dia meninggalkan rumah itu, dia langsung tidak kembali. Bahkan, dia terpaksa bertanya kepada orang-orang kampung mengenai lokasi ayahnya bersemadi.
Air matanya mengalir tatkala dia terlihat nama ayahnya yang terukir pada batu nisan. Dia memeluk batu nisan ayahnya. “Ayah, maafkan Azman, ayah. Sekarang baru Man tahu bahawa Man salah. Man tak sepatutnya tinggalkan ayah. Man tak septutnya melukakan hati ayah pada malam itu. Man berdosa kepada ayah. Maafkanlah Man, ayah. Man hidup merana sekarang. Man tahu Man derhaka kepada ayah. Ampunkan Man, ayah. Ayah….”
Dia menangis teresak-esak tak ubah seperti seorang bayi. Dia begitu menyesal. Tetapi tiada gunanya menyesal di kemudian hari. Masa tak akan berputar kembali. Air mata darah tak dapat mengubah apa-apa.
“Ya Allah, berikanlah peluang kedua kepadaku.”
Azman membuka matanya. Nafasnya tercungap-cungap. Dadanya turun naik dengan laju. Dia melilau ke sekelilingnya. Hujan masih belum reda. Dia masih berada di pondok usang itu. Dia menyeka air matanya. Dia beristighfar diikuti dengan ucapan Alhamdulillah menyatakan rasa syukur. Dia bersyukur segala yang berlaku hanya sebuah mimpi – mimpi yang paling ngeri yang pernah dialaminya. Dia tak mahu hidup berakhir dengan penyesalan. Dia sedar bahawa dia tak patut bertindak mengikut perasaan.
Kata-kata arwah ibunya terngiang-ngiang semula di telinganya. “Dalam dunia ini kita diberi bermacam-macam pilihan. Ada pilihan yang baik dan ada yang buruk. Hanya ada satu perkara yang dapat mebezakan kedua-dua pilihan ini. Pilihan yang berlandaskan emosi dan perasaan adalah pilihan yang salah. Pilihan yang betul adalah pilihan yang dibuat berlandaskan akal fikiran manusia. Itulah kelebihan yang Allah kurniakan kepada manusia.”
Terima kasih ibu. Selama ini aku telah memilih jalan yang salah. Aku hanya menjerumuskan diri aku sendiri ke dalam perangkap yang aku buat sendiri. Aku tak patut membantah cakap ayah. Ayah tahu apa yang terbaik untuk diri aku. Fikiran aku belum cukup matang untuk menentukan pilihan yang terbaik untuk aku sendiri.
Azman merenung ke langit yang gelap. Hujan terus turun dengan galak tanpa menuujukkan tanda untuk berhenti. Azman berpatah balik ke rumah. Dia nekad untuk mengubah pendiriannya. Dia mahu berubah menjadi seorang yang berguna. Dia mahu menjalani kehidupan yang bahagia. Dia tak mahu hidup dalam bayangannya sendiri lagi. Dalam kegelapan malam itu, dia sudah dapat melihat cahaya di hadapannya. Cahaya itu datang daripada muka pintu rumahnya. Satu bayang dapat dilihatnya berada di muka pintu. Seseorang yang setia menantinya pulang ke rumah.
Azman terus berlari sepantas mungkin dan mendakap Pak Sulaiman. Air matanya jatuh berjuraian. “Ampunkan Man, ayah. Man janji Man akan berubah. Man tak akan ulang lagi apa yang Man buat hari ni. Maafkan Man, ayah,” Azman merayu memohon keampunan. Segala kata-katanya diluahkan dari lubuk hatinya.
Pak Sulaiman turut mendakap anaknya. Mana mungkin ada ayah yang tidak sayang akan anaknya. “Selamat pulang anakku.” Pak Sulaiman juga tidak dapat lagi menahan perasaan sebaknya. Dia terus menangis di samping anaknya.
Hujan berhenti. Sinaran Sang Rembulan kembali kelihatan bersama kerlipan beribu-ribu bintang di angkasa. Semuanya bersinar bagaikan mereka sedang memerhatikan dua beranak itu.
Naluri seorang ayah atau ibu memang sentiasa betul. Pak Sulaiman memang sudah menjangka bahawa Azman akan pulang semula. Dan dia sanggup menunggu anaknya pulang waima sampai ke akhir hayatnya sekalipun. Air dicencang tidak akan putus. Pertalian darah antara manusia tidak akan putus walau selama manapun mereka berjauhan.
Sejak peristiwa hari itu, Azman benar-benar telah berubah. Dia sudah menjauhkan dirinya daripada perkara-perkara yang haram. Dia mula mendalami agama dengan lebih lanjut. Malah, dia juga telah melanjutkan pelajarannya ke Universiti al-Azhar semata-mata mahu mendalami ilmu agama. Dia telah menjadi seorang manusia yang berguna kepada masyarakat – penuh ilmu di dada. Dia juga seorang hamba yang taat dengan suruhan Rabbul Izzati dan seorang anak yang taat akan ayahnya.

Pak Sulaiman dapat bersemadi dengan tenang kerana dai telah berjaya mencapai hasratnya dan hasrat arwah isterinya. Dia telah berjaya mendidik anaknya menjadi seorang anak yang soleh – anak yang dapat mendoakan kesejahteraan ibu dan bapanya. Setelah tamat pengajian di Universiti al-Azhar, Azman memilih untuk mengejar cita-citanya. Dia mahu mencontohi kehebatan ayahnya yang menjadi seorang ayah yang amat hebat – membesarkan anak tanpa bantuan isteri. Dia mengikut jejak ayahnya dengan menjadi seorang pegawai polis.

No comments:

Post a Comment