Tuesday 2 December 2014

Duri Di Jalanan

DURI DI JALANAN
Oleh : AIMAN ASYRAF ZULKIFLE

LANGIT nan biru kian menggelap. Sang Mentari yang bersinar dengan terang kian dilindungi awan kumulus yang berarak. Angin yang berpuput lembut kian mengganas meniup halangannya. Sang Awan mula menangis – mengalirkan hujan seperti menangis bersama kesedihan Hisham.
            Rasa sedih masih bersarang di atmanya. Tidak dapat lagi dia tangisi kesedihan kehilangan tiga orang tersayang dalam sekelip mata, air matanya sudah kering. Habis. Matanya sudah menjadi semerah saga. Terpaksa tinggal di Tanah Rancangan Felda. Meninggalkan segala-galanya yang pernah dimilikinya.
            Rakan-rakan. Kemewahan. Kesenangan.
            Kereta berhenti. Sebuah rumah berdiri teguh di hadapannya. “Kita sudah sampai. Inilah rumah Pak Lang,” kata bapa saudaranya. Pak Lang merupakan abang kepada ibunya. Dia mengambil keputusan untuk membawa Hisham tinggal bersamanya kerana dia tahu bahawa Hisham sudah tiada tempat bergantung. Sebatang kara. Jika bukan dia yang mengambil alih tempat adiknya, siapa lagi yang lebih sesuai? Dia juga tinggal berseorangan selepas kematian pasangan hidupnya. Anak tunggal adiknya itu boleh mewarnai hidupnya yang kesepian. Itulah harapannya.
            Walaupun rumah Pak Lang tidaklah sebesar rumahnya di bandar, dia terpaksa akur dengan kehendak Rabbulalamin. Hanya itulah satu-satunya suaka baginya. Keadaan di kampung, tidak sama seperti bandar.
            Hujan mulai reda. Pintu kereta dibuka seraya bumi Felda dijejakkan kakinya. Udara segar meresap masuk ke dalam rongga hidungnya. Perlahan-lahan nafasnya ditarik lalu dihembuskan semula. Mukanya diangkat memandang ke arah Pak Lang. Matanya sayu.
            Perlahan-lahan Pak Lang mendekatinya lalu mendakapnya erat. Dia cuba mencurahkan peraaan kasih sayang terhadap remaja yang malang itu. Tanpa disedari, air mata remaja itu mengalir deras. Rasa sebak di dada tidak dapat ditahannya. Pak Lang turut menangis bersamanya. Dakapannya dieratkan.
            “Jangan risau. Pak Lang akan menemani kamu selagi termampu.” Kata azimat yang diucapkan Pak Lang bagai memberi nadi kehidupan yang baru untuk meneruskan diari kehidupannya.
            Dalam suka, ada duka.
            Dalam tangis, ada tawa.
            Dalam sedih, ada bahagia.
            Takdir Ilahi menemukan dua insan yang mempunyai latar belakang yang berbeza bagi mewarnai hidup yang kesunyian. Itulah kuasa Sang Pencipta yang Maha Esa. Merangka qada’ dan qadar yang hanya diketahui oleh-Nya. Alangkah indahnya hikmah yang disembunyikan oleh Sang Pencipta. Hanya Dia yang mengetahui segala-galanya.
            Perlahan-lahan dakapan itu dilepaskan. Ubun-ubun Hashim dibelai lembut. “Berhentilah menangis. Semakin lama kita tangisi masa lampau, semakin jauh masa depan akan meninggalkan kita. Masuklah ke dalam. Pak Lang akan menjaga kamu sebaik mungkin.”
*****
            “Amboi, kacaknya lelaki tu. Betul kan, Ain?”
            Ain mengalih perhatiannya ke arah budak lelaki yang dimaksudkan itu. “Lelaki semuanya sama. Kacak di luaran. Tetapi hati macam arang.”
            Budak lelaki yang dimaksudkan itu tentu adalah Hashim. Hashim berjalan menuju ke pejabat seklah beriringan dengan Pak Lang. Hati gundah-gulana dan kerisauan. Hasilnya perasaan gementar timbul dari lubuk hatinya.
            “Haji Izzuddin jangan risau. Kami akan memberikan pendidikan yang terbaik untuk anak saudara Tuan Haji.”
            Hashim hanya menjeling. Garis-garis keyakinan terukir pada wajah pengetua yang berumur 50-an itu. Satu aura berbeza dapat dirasakannya di sekolah pedalaman itu. Sesuatu yang tidak dapat dirasainya ketika bersekolah di bandar.
            Pak Lang berjabat tangan dengan pengetua. Senyuman dibalas senyuman. Salam dibalas salam. “Hashim, jom. Pak Lang tunjukkan kelas.”
            Hashim tersentak. Lamunannya terhenti. “Hah?” Mulutnya terlopong. Bingung.
            Pak Lang menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Ikut Pak Lang.”
            Mereka berdua melangkah keluar dari bilik pengetua. Hashim dibawa ke sebuah kelas. Seorang guru kelihatan rancak mengajar dalam kelas itu. Pintu diketuk. Guru itu berpaling ke arah mereka lalu mendekati mereka. Wajahnya tersenyum riang. Sungguh ceria.
            “Cikgu Murni!” Mata Hashim membesar. Amat terkejut.
            “Oh, Hashim. Kamulah murid baru itu. Silakan masuk.” Hashim dijemput masuk dengan mesra.
            Hashim berasa lega. Cikgu Murni merupakan guru yang paling rapat dengannya sewaktu dia berada di Tingkatan Satu. Namun begitu, Cikgu Murni telah dipindahkan ke sekolah lain apabila dia baru masuk ke Tingkatan Dua. Garis-garis kemesraan masih terpahat pada wajah kedua-dua insan ini walaupun sudah hampir empat tahun mereka tidak bersua muka. Kehadiran Cikgu Murni di sekolah barunya mungkin dapat menghilangkan selautan kerisauan yang terbuku di hatinya dan segunung sengsara yang sedang dipikulnya.
            Hashim melangkah masuk ke dalam kelas itu. Dia menala nafas dalam. Semua mata sedang memandangnya. “Assalamualaikum, nama saya Hashim. Saya baru berpindah ke sini. Sila beri tunjuk ajar.” Badannya ditundukkan tanda hormat.
            “Hashim, sila ambil tempat duduk kamu. Kamu boleh duduk di sebelah Zack. Murid lain sila layan kawan baru kita dengan baik. Dia baru sahaja kehilangan ibu bapanya. Berkawanlah dengan dia supaya dapat menghilangkan kesedihan yang menetap di hatinya.”
*****
            “Ain, engkau tak mahu berkenalankah dengan budak baru itu?”
            “Tak mahu.” Ain menjuihkan bibirnya.
            “Eleh, jual mahal pula.”
            “Mana ada.” Ain menarik muka masam.
            “Janganlah sedih sangat. Tak semua lelaki jahat macam Zack.”
            “Jangan sebut nama budak tu lagi. Lambat-laun budak baru tu pasti akan menjadi salah seorang daripada ahli kumpulan Zack. Lebih-lebih lagi, dia duduk di sebelahnya di dalam kelas. Pasti dia akan terpengaruh dengan Zack.”
            Mereka berdua sibuk berbual-bual sambil berjalan. Ain bertembung dengan sesuatu. Punggungnya hinggap ke lantai. Dia menggosok kepalanya yang terhantuk. Sakit. Dia menghembus nafas marah. Dia membuka matanya. Satu wajah yang pernah dilihatnya menggosok kepala sama seperti yang dilakukannya.
            “Ma … maafkan saya. Memang salah saya berjalan tak pandang ke hadapan.” Hashim membantu Ain bangun semula.
            Wajah Ain berona merah. Malu. Subjek yang sedang diperkatakannya berada di hadapan sepasang matanya. Perilakunya menyentuh perasaan Ain. Sungguh sopan. Tidak seperti yang dijangkanya. Mukanya bersih, rambutnya disikat kemas ke belakang, bajunya bersih.
            Perasaan bersalah menyelubungi atma Hashim. Masya-Allah. Apa yang telah aku lakukan? Aku benar-benar tidak menyedari kehadirannya.
            Husna ketawa kecil. Lucu. Muka rakannya berona merah menahan malu. Muka Hashim pula kelihatan risau dan bersalah. Air muka Ain tidak menunjukkan bahawa dia hendak marah, lebih seperti malu. Lucu gelagatnya.
            “Tidak mengapa. Saya pun salah juga sebab tidak berhati-hati ketika berjalan,” jawab Ain lembut. Hatinya berdebar-debar. “Awak budak baru tu kan?”
            “Ya, nama saya Hashim. Saya baru berpindah ke sini.”
            “Nama saya Ain. Kelas saya hanya di sebelah kelas awak.”
            “Oh, begitu. Saya masih belum kenal sesiapa kecuali guru Bahasa Melayu saya dan pengetua sekolah ini.” Hashim menundukkan kepala. Dia memang seorang pemalu. “Rakan sekelas saya juga saya belum kenal.”
            Masih ada peluang. Dia belum terpengaruh dengan Zack. Perangai dia masih belum menjadi setan. Mungkin masih ada peluang untuk bimbing dia ke arah kebaikan supaya dia tidak terlibat dengan kerja-kerja kotor Zack. Aku perlu membantu dia. Betul, jika bukan aku, siapa lagi yang dapat membantu dia?
*****
            Jauh di langit malam, bintang berkelip-kelip bagaikan mengenyit mata kepada sesiapa yang memandangnya. Suasana sunyi sepi tanpa kata. Bunyian alam menguasai suasana. Angin malam yang sejuk berpuput sepoi-sepoi bahasa menyentuh tubuh seorang remaja yang kesepian. Duduk di halaman rumah yang diselubungi kegelapan malam. Mencari sebuku ketenangan dalam dirinya.
            Hashim merenung jauh ke dada langit. Melayan perasaannya yang kesunyian. Sesekali dia menyentuh dadanya. Sebak. Fikirannya mula mengenangkan saat-saat indah bersama ibu bapanya.
            “Hashim, bangun. Sudah subuh.”
            Hashim membuka matanya. Ayah. Wajahnya tersenyum mesra. Hashim menggosok matanya lalu bersiap untuk bersembahyang subuh bersama ayahnya.
            Usai solat Subuh, Hashim turun dari tingkat atas rumahnya bersama Ayah. Ibu sudah menunggu mereka di meja makan bersama Adik. Adik sudah tidak sabar untuk makan. Ruang makan rumah agam itu bergema dengan gelak tawa seisi keluarga itu. begitulah rutin mereka pada hari Ahad. Begitu mesra.
            “Ayah dan ibu mahu ke Kompleks Teruntum. Hashim nak ikut?” satu soalan terpacul dari mulut Ayah.
            “Apa yang ayah mahu beli?”
“Adik nak ikut. Adik nak ikut.” Adik mengangkat tangannya untuk menarik perhatian ayah kerana dia pendek.
            “Adik tak boleh ikut. Adik perlu ke taska hari ini,” jawab Ayah lembut. Dia mengusap ubun-ubun Adik.
            “Kenapa Adik tak boleh ikut?” Adik memuncungkan bibirnya tanda protes.
            Hashim tersenyum. Lucu. Adik memang degil. Mahu sahaja kehendaknya dituruti. Jika Adik merajuk, pasti Ayah akan memujuknya. Ayah memang seorang yang penyayang.
            “Adik kan ada aktiviti di taska hari ni. Nanti cikgu tunggu. Kawan-kawan adik pun ada di sana nanti. Janganlah risau. Ayah ke bandar sekejap sahaja. Ibu kamu mahu beli barang dapur.”
            “Tak bolehkah adik tinggal di rumah dengan Abang?” Adik merayu.
            “Tak boleh. Abang kamu perlu berehat. Dia dah banyak buat ulang kaji pada hari lain. Biarlah dia berehat hari ini. Nanti kamu ganggu abang kamu,” kata Ayah tegas.
            Adik memonyokkan muka lalu meninggalkan Hashim dan Ayah. Dia mentup mulutnya rapat. Merajuk. Cuba menagih simpati.
            “Jangan risau. Nanti okeylah tu,” kata Ayah yakin. Dia sudah masak dengan perangai anak bongsunya itu. “Apa jawapan Hashim?”
             “Apa yang ayah cuba sembunyikan? Biasanya ayah akan akur dengan desakan Adik.”
            “Ayah mahu buat kejutan sempena hari lahir Adik.”
            “Bila?” Hashim mengangkat keningnya.
            “Hari ini. Ayah bercadang hendak membeli anak patung beruang.” Ayah mengenyitkan mata.
            Hanshim menala nafas lemah seraya menggelengkan kepalanya ke kanan dan ke kiri. “Hashim tak mahu ikut. Hashim nak berehat di rumah.” Dia mengurut bahunya yang lenguh.
            “Kalau begitu, nanti Hashim ambil adik pulang dari taska. Jangan lupa tunggang motosikal elok-elok. Jangan tunggang motosikal laju sangat, dan jangan lupa pakai topi keledar.” Ayah menggoyangkan jari telunjuknya.
            Hashim tersenyum. Dia mengangkat ibu jarinya tanda setuju. “Hashim akan ingat pesanan ayah sampai bila-bila.”
            “Abang, jom pergi,” laung Ibu.
            Hashim bersalaman dengan ayahnya lalu mencium tangan ayahnya. Wangi. Minyak wangi apa yang ayah pakai? Biasanya wangian minyak wangi ayah tidaklah harum semerbak begini. Ayah mesti ada minyak wangi baru, fikir Hashim.
            Ayah, Ibu dan Adik keluar meninggalkan Hashim seorang diri di rumah. Hashim meniarap di atas katilnya sambil melihat ke luar tingkap. Langit sungguh terang. Angin berpuput lembut menggerakkan langsir tingkapnya.
            Hashim menala nafas lega. Tenang. Bukan selalu dirinya ditinggalkan seorang diri di rumah. Biasanya dia terpaksa menemani adiknya sekiranya ayah dan ibunya keluar membeli barang. Adik pula sering buat onar. Memang degil.
            “Hashim! Hashim!”
            Hashim tersedar daripada lamunannya. Pipinya basah. Matanya merah dan berkaca. Dia cuba menahan sebak. Nafasnya ditarik dalam lalu dihembus.
            “Hashim, apa yang kamu buat di situ malam-malam begini?” Pak Lang menjenguk melalui daun tingkap.
“Hashim mahu menikmati pemandangan di sini,” Hashim cuba mengelak daripada berbicara tersekat-sekat.
“Masuklah. Nanti nyamuk gigit. Di sini ada banyak semak. Nyamuk memang suka bertandang ke kawasan-kawasan begini.”
Hashim bangun seraya masuk ke dalam rumah. Dia tersenyum lega. Yang pergi tetap akan pergi, yang hidup perlu teruskan kehidupan. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Mungkinkah Allah Azza Wa Jalla mahu dia sedar akan kesilapannya dan bertaubat atas dosa-dosa yang telah dilakukannya setelah menarik nikmat kasih sayang keluarga kandung yang pernah diberikan kepadanya dahulu. Hanya dia yang boleh menentukan langkahnya yang seterusnya. Walau apa sekalipun yang telah berlaku pada hari itu.
*****
            Kriiing! Jam loceng melenyapkan kesepian malam yang mengulit manusia ke dalam mimpi. Hashim terjaga. Matanya digosok untuk menghilangkan rasa mengantuk. “Aku berazam, hari ini aku akan cari kawan baru. Aku tidak boleh bersedih sepanjang masa. Aku perlukan seorang rakan untuk berkongsi masalah.”
            Hashim begitu bersemangat pada hari itu. dia menunggang motosikalnya dan tiba awal ke sekolah. Dia duduk berseorangan di dalam kelas. Menantikan rakan-rakan sekelasnya tiba. Kelihatan kelibat seseorang yang dikenalinya melintas di kaki lima kelasnya. Namun begitu, belum sempat dia menegurnya, kelibat itu telah berjalan laju menghilangkan diri.
            Sombongnya, fikir Hashim.
            Seorang lelaki memasuki kelasnya. Lelaki yang berambut kusut-masai dan tidak mengenakan pakaian sekolahnya dengan kemas itu duduk di sebelah Hashim. “Assala….” Hashim tidak sempat menyapa.
            “Hai, nama aku Zack.” Tangannya dihulurkan untuk berjabat tangan denagn Hashim. Senyuman terukir di wajahnya.
            Mereka berjabat tangan. Senyuman mesranya menenangkan Hashim. Tetapi ada sesuatu yang tidak kena dengan budak Zack itu. Dia seperti terlalu baik.
            Hashim dan Zack berbual mesra. Sekilas pandang, Hashim terpandang seseorang sedang memerhatikan mereka. Wajah itu dapat dikenalinya. Ain, detik hatinya. Tetapi apa yang dia mahu. Wajahnya risau.
            Tiba-tiba, satu cahaya berkelip terang. Ain menghilangkan diri. Tum, kilat menyambar bumi. Hashim terkesima seketika. Awan mula menangis. Perbualan mereka berhenti seketika. Guruh berdentum. Mungkinkah Ain melarikan diri kerana takut akan bunyi guruh.
            Seorang lelaki bertubuh janggai meluru masuk ke dalam kelas itu. Bajunya basah kuyup. Zack mengangkat tangan ke arahnya. Lelaki itu mengangkat tangan kembali lalu meletakkan begnya di tempat duduknya sebelum menghampiri Zack dan Hashim.
            “Kenalkan. Ini Aril. Kami berdua memang kawan baik sejak kecil. Membesar bersama.” Bahu Aril ditepuk. Mereka kelihatan mesra bersama. Memang serasi. Mereka ketawa kecil. Bunyinya sedikit jahat.
            Kelas itu mula dipenuhi murid. Sesi pengajaran dan pembelajaran bermula. Apabila waktu rehat tiba, Hashim duduk berseorangan di dalam kelas. Fikirannya melayang gembira. Sebuku kegusaran yang menetap di hatinya bagaikan sudah lenyap dengan serta-merta. Satu wajah menjenguk ke kelas sebelum melangkah masuk ke dalam kelas itu. Susuk tubuh itu mendekati Hashim.
            Hashim tersentak. Seorang perempuan bertudung kemas memandang ke arahnya dengan kehairanan. Keningnya terangkat. Muka Hashim berona merah. Malu. Ditambah segan.
            “Apa yang awak buat di sini?” Hashim tersipu-sipu.
            Ain meletakkan jari telunjuk pada mulutnya. “Cakap perlahan sikit,” bisik Ain. “Saya ada perkara penting mahu beritahu kepada awak.” Mukanya serius. Hashim menjadi tertanya-tanya. Mulutnya dikunci rapat.
            “Saya menjadi kurang senang melihat awak semakin rapat dengan Zack dan Aril.”
            “Kenapa?” Dahinya berkerut.
            “Sebenarnya….”
            Satu suara mencelah. “Apa awak berdua buat?” Susuk tubuh berpakaian kemeja biru menghampiri mereka. “Ikut saya ke bilik guru disiplin.”
            Tangan Hashim disentap. Mukanya mula berpeluh. Hashim cuba melawan. “Apa salah saya?”
            “Awak didapati melanggar peraturan sekolah kerana berdua-duaan dan berada di dalam kelas pada waktu rehat.”
            “Kami tak lakukan apa-apa.” Ain mula gelisah.
            “Usah berdalih lagi.”
            Mereka bertiga bertikam lidah buat seketika. Keadaan mula menjadi hening apabila satu susuk tubuh yang lebih besar masuk. Menurut cara pemakaiannya, sudah jelas dia bukan serang murid. Misainya yang tebal diurut lembut. “Apa yang bising sangat di sini?”
*****
            Hashim menunggang motosikalnya dengan laju. Jarum meternya menunjukkan 100km/h. dahinya berkerut. Mukanya marah. Mungkin dia sedang bergesa ke satu tempat untuk sesuatu hal yang sangat penting.
            Motosikalnya ditunggang semakin laju. Matanya tertumpu pada seseorang yang sedang memecut motosikal di hadapannya. Tiba-tiba, kedua-dua motosikal berhenti.
            Penunggang motosikal di hadapan Hashim menunjukkan wajahnya. Aril. Tangannya dihulurkan untuk bersalaman.
            Hashim tidak mengendahkan Aril. Dia berjalan terus ke arah Zack yang sedang memerhatikan mereka sambil bersandar pada sebatang pokok kelapa sawit.
            “Aku tahu engkau tak puas hati. Ikut aku jika kaumahu jadi lebih hebat.”
            Mereka bertiga menunggang motosikal mereka semula. Zack tersenyum sinis.
*****
            Merenung ke luar jendela. Mengurung diri di dalam biliknya. Puas sudah dia dimarahi ibunya setelah berdas-das peluru soalan dilepaskan kepadanya. Kadang-kadang ada juga rasa sebak menyerang dadanya apabila disalahkan dengan perkara yang tidak dilakukannya. Namun, Ain mengambil keputusan untuk berdiam diri.
            Agaknya apa yang Hashim lakukan. Dia begitu marah sehingga sanggup melawan cakap bapa saudaranya. Sikapnya berubah serta-merta. Fikiran Ain runsing.
Sejak pulang ke rumah, dia asyik memikirkan tentang Hashim. Risau. Dia mungkin akan dipengaruhi oleh Zack dan Aril nanti.
            Tanpa melengahkan masa lagi, Ain melompat keluar melalui daun tingkap biliknya seraya bergegas ke rumah Haji Izzuddin selepas mengambil selipar birunya.
*****
            “Tempat apa ni?”
            “Inilah tempat rahsia kami. Hanya kita bertiga yang tahu tentang tempat ini.” Zack melangkah masuk ke sebuah rumah usang.
            Hashim mula berasa curiga apabila masuk ke rumah itu. Bertimbun-timbun beg plastik hitam dilonggokkan di satu sudut rumah itu. Beg-beg plastik itu turut dilabel dengan kemas. Zack muncul semula entah dari mana dan menghulurkan dua biji pil kepada Hashim. “Pil apa ini?”
            “Inilah rahsia kehebatan kami.”
            Pandangan Hashim tertikam pada dua biji pil tersebut. Pil apakah itu? Rupanya sama seperti pil kuda. Mungkin pil itu memang pil kuda. Mungkinkah aku menjadi lebih hebat apabila menggunakan dadah? Atau perkara sebaliknya akan berlaku? Tetapi mengikut pengetahuan aku, penagih dadah akan mengalami banyak perubahan. Selain menhidap pelbagai jenis penyakit, badan mereka akan yang berisi akan berubah menjadi kurus.
            Tangannya dihulurkan perlahan-lahan untuk mengambil pil itu. Pil itu ditelitinya dengan lebih dekat. Betul. Ini memang pil kuda. Patutkah aku makan pil ini? Betulkah kemegahan sebagai seorang penunggang motosikal yang aku cari selama ini? Hashim berfikir sedalam-dalamnya. Fikirannya terhenti di satu fail memori hari terakhir bersama ahli keluarganya.
            Hashim berbaring di atas sofa di ruang tamu rumahnya. Tenang. Jam berdetik pukul 2 petang. Dia mengambil kunci motosikalnya yang tersangkut pada dinding lalu keluar menjemput adiknya di taska.
            Dalam perjalanan balik ke rumah, Hashim memecut motosikalnya. “Abang, janganlah laju sangat. Kita tak pakai topi keledar, nanti terbabas. Bahaya,” rungut adiknya.
            Lampu trafik menunjukkan warna merah. Hashim menghentikan motosikalnya. Seorang lelaki menghentikan motosikalnya di sebelah Hashim. “Jom lumba. Aku tengok laju juga engkau pecut tadi.”
            “Kalau tak takut marilah.”
Lampu trafik bertukar hijau. Kedua-dua motosikal memecut laju. “Abang, adik takut.” Adik memeluknya erat.
Hashim membisu. Fokus pada jalan raya. Tiba-tiba, motosikalnya hilang kawalan. Dia terjatuh dari motosikalnya apabila cuba mengelak daripada melanggar lori. Adiknya masih berada di atas motosikal. Motosikal itu menuju ke arah sebuah kereta.
Kereta itu cuba mengelak namun terpaksa merempuh pembahagi jalan. Pemandunya pengsan. Darah Adik membasahi jalan raya. Tangki minyak kedua-dua kenderaan itu bocor. Api mula menyenggau kedua-dua kenderaan itu. Tiada orang yang berani mendekati mereka.
Hashim menangis melihat adiknya. Kesedihan itu ditambah pula apabila dia menyedari bahawa kereta yang merempuh pembahagi jalan itu adalah kereta Ayah.
“Ayah! Ibu! Adik!” Hashim menjerit sekuat hati.
“Hashim!”
Hashim tersentak. Zack sedang merenung tajam ke arahnya. Keningnya jelas menunjukkan kemarahan dan ketidak sabarannya. Dia mengeluh panjang.
“Makanlah cepat!”
“Aku dah puas. Aku tak mahu menjadi pelumba haram seperti engkau. Aku dah tak mahu menjadi duri di jalanan yang hanya menyusahkan orang lain.” Hashim mencampakkan kedua-dua biji pil itu ke tanah.
Muka Zack merah padam. “Engkau akan terima akibatnya.” Zack menerkam ke arah Hashim.
            Hashim berjaya menempis terkaman Zack lalu berlari mendapatkan motosikalnya. Dia memecut laju.
*****
            “Pak cik, Hashim ada?” kegelisahan jelas terpampang pada wajahnya.
            “Tiada. Jemputlah masuk dahulu.” Pak Lang dan Ain melintas jalan raya di hadapan rumahnya. Bunyi bising hinggap di telinga mereka. Langkah mereka terhenti.

            Hashim memecut motosikalnya laju ke arah Pak Lang dan Ain sementara di belakangnya Aril dan Zack masih mengejarnya. Tiba-tiba, sebuah lori menghalang jalan Aril dan Zack sementara motosikal Hashim masih menuju terus ke arah Pak Lang dan Ain. Motosikal mereka bertiga hilang kawalan. Darah berpercikan merata-rata di jalan raya.