DURI
DI JALANAN
Oleh :
AIMAN ASYRAF ZULKIFLE
LANGIT
nan biru kian menggelap. Sang Mentari yang
bersinar dengan terang kian dilindungi awan kumulus yang berarak. Angin yang
berpuput lembut kian mengganas meniup halangannya. Sang Awan mula menangis –
mengalirkan hujan seperti menangis bersama kesedihan Hisham.
Rasa
sedih masih bersarang di atmanya. Tidak dapat lagi dia tangisi kesedihan
kehilangan tiga orang tersayang dalam sekelip mata, air matanya sudah kering.
Habis. Matanya sudah menjadi semerah saga. Terpaksa tinggal di Tanah Rancangan
Felda. Meninggalkan segala-galanya yang pernah dimilikinya.
Rakan-rakan.
Kemewahan. Kesenangan.
Kereta
berhenti. Sebuah rumah berdiri teguh di hadapannya. “Kita sudah sampai. Inilah rumah
Pak Lang,” kata bapa saudaranya. Pak Lang merupakan abang kepada ibunya. Dia
mengambil keputusan untuk membawa Hisham tinggal bersamanya kerana dia tahu
bahawa Hisham sudah tiada tempat bergantung. Sebatang kara. Jika bukan dia yang
mengambil alih tempat adiknya, siapa lagi yang lebih sesuai? Dia juga tinggal
berseorangan selepas kematian pasangan hidupnya. Anak tunggal adiknya itu boleh
mewarnai hidupnya yang kesepian. Itulah harapannya.
Walaupun
rumah Pak Lang tidaklah sebesar rumahnya di bandar, dia terpaksa akur dengan
kehendak Rabbulalamin. Hanya itulah satu-satunya suaka baginya. Keadaan di
kampung, tidak sama seperti bandar.
Hujan
mulai reda. Pintu kereta dibuka seraya bumi Felda dijejakkan kakinya. Udara
segar meresap masuk ke dalam rongga hidungnya. Perlahan-lahan nafasnya ditarik
lalu dihembuskan semula. Mukanya diangkat memandang ke arah Pak Lang. Matanya
sayu.
Perlahan-lahan
Pak Lang mendekatinya lalu mendakapnya erat. Dia cuba mencurahkan peraaan kasih
sayang terhadap remaja yang malang itu. Tanpa disedari, air mata remaja itu
mengalir deras. Rasa sebak di dada tidak dapat ditahannya. Pak Lang turut
menangis bersamanya. Dakapannya dieratkan.
“Jangan risau. Pak Lang akan menemani
kamu selagi termampu.” Kata azimat yang diucapkan Pak Lang bagai memberi nadi
kehidupan yang baru untuk meneruskan diari kehidupannya.
Dalam
suka, ada duka.
Dalam
tangis, ada tawa.
Dalam
sedih, ada bahagia.
Takdir
Ilahi menemukan dua insan yang mempunyai latar belakang yang berbeza bagi
mewarnai hidup yang kesunyian. Itulah kuasa Sang Pencipta yang Maha Esa.
Merangka qada’ dan qadar yang hanya diketahui oleh-Nya. Alangkah indahnya
hikmah yang disembunyikan oleh Sang Pencipta. Hanya Dia yang mengetahui
segala-galanya.
Perlahan-lahan
dakapan itu dilepaskan. Ubun-ubun Hashim dibelai lembut. “Berhentilah menangis.
Semakin lama kita tangisi masa lampau, semakin jauh masa depan akan
meninggalkan kita. Masuklah ke dalam. Pak Lang akan menjaga kamu sebaik
mungkin.”
*****
“Amboi,
kacaknya lelaki tu. Betul kan, Ain?”
Ain
mengalih perhatiannya ke arah budak lelaki yang dimaksudkan itu. “Lelaki
semuanya sama. Kacak di luaran. Tetapi hati macam arang.”
Budak
lelaki yang dimaksudkan itu tentu adalah Hashim. Hashim berjalan menuju ke
pejabat seklah beriringan dengan Pak Lang. Hati gundah-gulana dan kerisauan.
Hasilnya perasaan gementar timbul dari lubuk hatinya.
“Haji
Izzuddin jangan risau. Kami akan memberikan pendidikan yang terbaik untuk anak
saudara Tuan Haji.”
Hashim
hanya menjeling. Garis-garis keyakinan terukir pada wajah pengetua yang berumur
50-an itu. Satu aura berbeza dapat dirasakannya di sekolah pedalaman itu.
Sesuatu yang tidak dapat dirasainya ketika bersekolah di bandar.
Pak
Lang berjabat tangan dengan pengetua. Senyuman dibalas senyuman. Salam dibalas
salam. “Hashim, jom. Pak Lang tunjukkan kelas.”
Hashim
tersentak. Lamunannya terhenti. “Hah?” Mulutnya terlopong. Bingung.
Pak
Lang menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Ikut Pak Lang.”
Mereka
berdua melangkah keluar dari bilik pengetua. Hashim dibawa ke sebuah kelas.
Seorang guru kelihatan rancak mengajar dalam kelas itu. Pintu diketuk. Guru itu
berpaling ke arah mereka lalu mendekati mereka. Wajahnya tersenyum riang.
Sungguh ceria.
“Cikgu
Murni!” Mata Hashim membesar. Amat terkejut.
“Oh,
Hashim. Kamulah murid baru itu. Silakan masuk.” Hashim dijemput masuk dengan
mesra.
Hashim
berasa lega. Cikgu Murni merupakan guru yang paling rapat dengannya sewaktu dia
berada di Tingkatan Satu. Namun begitu, Cikgu Murni telah dipindahkan ke
sekolah lain apabila dia baru masuk ke Tingkatan Dua. Garis-garis kemesraan
masih terpahat pada wajah kedua-dua insan ini walaupun sudah hampir empat tahun
mereka tidak bersua muka. Kehadiran Cikgu Murni di sekolah barunya mungkin
dapat menghilangkan selautan kerisauan yang terbuku di hatinya dan segunung
sengsara yang sedang dipikulnya.
Hashim
melangkah masuk ke dalam kelas itu. Dia menala nafas dalam. Semua mata sedang
memandangnya. “Assalamualaikum, nama saya Hashim. Saya baru berpindah ke sini.
Sila beri tunjuk ajar.” Badannya ditundukkan tanda hormat.
“Hashim,
sila ambil tempat duduk kamu. Kamu boleh duduk di sebelah Zack. Murid lain sila
layan kawan baru kita dengan baik. Dia baru sahaja kehilangan ibu bapanya.
Berkawanlah dengan dia supaya dapat menghilangkan kesedihan yang menetap di
hatinya.”
*****
“Ain,
engkau tak mahu berkenalankah dengan budak baru itu?”
“Tak
mahu.” Ain menjuihkan bibirnya.
“Eleh,
jual mahal pula.”
“Mana
ada.” Ain menarik muka masam.
“Janganlah
sedih sangat. Tak semua lelaki jahat macam Zack.”
“Jangan
sebut nama budak tu lagi. Lambat-laun budak baru tu pasti akan menjadi salah
seorang daripada ahli kumpulan Zack. Lebih-lebih lagi, dia duduk di sebelahnya
di dalam kelas. Pasti dia akan terpengaruh dengan Zack.”
Mereka
berdua sibuk berbual-bual sambil berjalan. Ain bertembung dengan sesuatu.
Punggungnya hinggap ke lantai. Dia menggosok kepalanya yang terhantuk. Sakit.
Dia menghembus nafas marah. Dia membuka matanya. Satu wajah yang pernah
dilihatnya menggosok kepala sama seperti yang dilakukannya.
“Ma
… maafkan saya. Memang salah saya berjalan tak pandang ke hadapan.” Hashim
membantu Ain bangun semula.
Wajah
Ain berona merah. Malu. Subjek yang sedang diperkatakannya berada di hadapan
sepasang matanya. Perilakunya menyentuh perasaan Ain. Sungguh sopan. Tidak
seperti yang dijangkanya. Mukanya bersih, rambutnya disikat kemas ke belakang,
bajunya bersih.
Perasaan
bersalah menyelubungi atma Hashim. Masya-Allah. Apa yang telah aku lakukan? Aku
benar-benar tidak menyedari kehadirannya.
Husna
ketawa kecil. Lucu. Muka rakannya berona merah menahan malu. Muka Hashim pula
kelihatan risau dan bersalah. Air muka Ain tidak menunjukkan bahawa dia hendak
marah, lebih seperti malu. Lucu gelagatnya.
“Tidak
mengapa. Saya pun salah juga sebab tidak berhati-hati ketika berjalan,” jawab
Ain lembut. Hatinya berdebar-debar. “Awak budak baru tu kan?”
“Ya,
nama saya Hashim. Saya baru berpindah ke sini.”
“Nama
saya Ain. Kelas saya hanya di sebelah kelas awak.”
“Oh,
begitu. Saya masih belum kenal sesiapa kecuali guru Bahasa Melayu saya dan
pengetua sekolah ini.” Hashim menundukkan kepala. Dia memang seorang pemalu.
“Rakan sekelas saya juga saya belum kenal.”
Masih
ada peluang. Dia belum terpengaruh dengan Zack. Perangai dia masih belum
menjadi setan. Mungkin masih ada peluang untuk bimbing dia ke arah kebaikan
supaya dia tidak terlibat dengan kerja-kerja kotor Zack. Aku perlu membantu dia.
Betul, jika bukan aku, siapa lagi yang dapat membantu dia?
*****
Jauh
di langit malam, bintang berkelip-kelip bagaikan mengenyit mata kepada sesiapa
yang memandangnya. Suasana sunyi sepi tanpa kata. Bunyian alam menguasai
suasana. Angin malam yang sejuk berpuput sepoi-sepoi bahasa menyentuh tubuh seorang
remaja yang kesepian. Duduk di halaman rumah yang diselubungi kegelapan malam.
Mencari sebuku ketenangan dalam dirinya.
Hashim
merenung jauh ke dada langit. Melayan perasaannya yang kesunyian. Sesekali dia
menyentuh dadanya. Sebak. Fikirannya mula mengenangkan saat-saat indah bersama
ibu bapanya.
“Hashim,
bangun. Sudah subuh.”
Hashim
membuka matanya. Ayah. Wajahnya tersenyum mesra. Hashim menggosok matanya lalu
bersiap untuk bersembahyang subuh bersama ayahnya.
Usai
solat Subuh, Hashim turun dari tingkat atas rumahnya bersama Ayah. Ibu sudah
menunggu mereka di meja makan bersama Adik. Adik sudah tidak sabar untuk makan.
Ruang makan rumah agam itu bergema dengan gelak tawa seisi keluarga itu.
begitulah rutin mereka pada hari Ahad. Begitu mesra.
“Ayah
dan ibu mahu ke Kompleks Teruntum. Hashim nak ikut?” satu soalan terpacul dari
mulut Ayah.
“Apa
yang ayah mahu beli?”
“Adik nak ikut. Adik nak
ikut.” Adik mengangkat tangannya untuk menarik perhatian ayah kerana dia
pendek.
“Adik
tak boleh ikut. Adik perlu ke taska hari ini,” jawab Ayah lembut. Dia mengusap
ubun-ubun Adik.
“Kenapa
Adik tak boleh ikut?” Adik memuncungkan bibirnya tanda protes.
Hashim
tersenyum. Lucu. Adik memang degil. Mahu sahaja kehendaknya dituruti. Jika Adik
merajuk, pasti Ayah akan memujuknya. Ayah memang seorang yang penyayang.
“Adik
kan ada aktiviti di taska hari ni. Nanti cikgu tunggu. Kawan-kawan adik pun ada
di sana nanti. Janganlah risau. Ayah ke bandar sekejap sahaja. Ibu kamu mahu
beli barang dapur.”
“Tak
bolehkah adik tinggal di rumah dengan Abang?” Adik merayu.
“Tak
boleh. Abang kamu perlu berehat. Dia dah banyak buat ulang kaji pada hari lain.
Biarlah dia berehat hari ini. Nanti kamu ganggu abang kamu,” kata Ayah tegas.
Adik
memonyokkan muka lalu meninggalkan Hashim dan Ayah. Dia mentup mulutnya rapat.
Merajuk. Cuba menagih simpati.
“Jangan
risau. Nanti okeylah tu,” kata Ayah yakin. Dia sudah masak dengan perangai anak
bongsunya itu. “Apa jawapan Hashim?”
“Apa yang ayah cuba sembunyikan? Biasanya ayah
akan akur dengan desakan Adik.”
“Ayah
mahu buat kejutan sempena hari lahir Adik.”
“Bila?”
Hashim mengangkat keningnya.
“Hari
ini. Ayah bercadang hendak membeli anak patung beruang.” Ayah mengenyitkan
mata.
Hanshim
menala nafas lemah seraya menggelengkan kepalanya ke kanan dan ke kiri. “Hashim
tak mahu ikut. Hashim nak berehat di rumah.” Dia mengurut bahunya yang lenguh.
“Kalau
begitu, nanti Hashim ambil adik pulang dari taska. Jangan lupa tunggang
motosikal elok-elok. Jangan tunggang motosikal laju sangat, dan jangan lupa
pakai topi keledar.” Ayah menggoyangkan jari telunjuknya.
Hashim
tersenyum. Dia mengangkat ibu jarinya tanda setuju. “Hashim akan ingat pesanan
ayah sampai bila-bila.”
“Abang,
jom pergi,” laung Ibu.
Hashim
bersalaman dengan ayahnya lalu mencium tangan ayahnya. Wangi. Minyak wangi apa
yang ayah pakai? Biasanya wangian minyak wangi ayah tidaklah harum semerbak
begini. Ayah mesti ada minyak wangi baru, fikir Hashim.
Ayah,
Ibu dan Adik keluar meninggalkan Hashim seorang diri di rumah. Hashim meniarap
di atas katilnya sambil melihat ke luar tingkap. Langit sungguh terang. Angin
berpuput lembut menggerakkan langsir tingkapnya.
Hashim
menala nafas lega. Tenang. Bukan selalu dirinya ditinggalkan seorang diri di
rumah. Biasanya dia terpaksa menemani adiknya sekiranya ayah dan ibunya keluar
membeli barang. Adik pula sering buat onar. Memang degil.
“Hashim!
Hashim!”
Hashim
tersedar daripada lamunannya. Pipinya basah. Matanya merah dan berkaca. Dia
cuba menahan sebak. Nafasnya ditarik dalam lalu dihembus.
“Hashim,
apa yang kamu buat di situ malam-malam begini?” Pak Lang menjenguk melalui daun
tingkap.
“Hashim mahu menikmati
pemandangan di sini,” Hashim cuba mengelak daripada berbicara tersekat-sekat.
“Masuklah. Nanti nyamuk
gigit. Di sini ada banyak semak. Nyamuk memang suka bertandang ke kawasan-kawasan
begini.”
Hashim bangun seraya masuk ke
dalam rumah. Dia tersenyum lega. Yang pergi tetap akan pergi, yang hidup perlu
teruskan kehidupan. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Mungkinkah Allah Azza Wa
Jalla mahu dia sedar akan kesilapannya dan bertaubat atas dosa-dosa yang telah
dilakukannya setelah menarik nikmat kasih sayang keluarga kandung yang pernah
diberikan kepadanya dahulu. Hanya dia yang boleh menentukan langkahnya yang
seterusnya. Walau apa sekalipun yang telah berlaku pada hari itu.
*****
Kriiing!
Jam loceng melenyapkan kesepian malam yang mengulit manusia ke dalam mimpi.
Hashim terjaga. Matanya digosok untuk menghilangkan rasa mengantuk. “Aku
berazam, hari ini aku akan cari kawan baru. Aku tidak boleh bersedih sepanjang
masa. Aku perlukan seorang rakan untuk berkongsi masalah.”
Hashim
begitu bersemangat pada hari itu. dia menunggang motosikalnya dan tiba awal ke
sekolah. Dia duduk berseorangan di dalam kelas. Menantikan rakan-rakan
sekelasnya tiba. Kelihatan kelibat seseorang yang dikenalinya melintas di kaki
lima kelasnya. Namun begitu, belum sempat dia menegurnya, kelibat itu telah
berjalan laju menghilangkan diri.
Sombongnya,
fikir Hashim.
Seorang
lelaki memasuki kelasnya. Lelaki yang berambut kusut-masai dan tidak mengenakan
pakaian sekolahnya dengan kemas itu duduk di sebelah Hashim. “Assala….” Hashim
tidak sempat menyapa.
“Hai,
nama aku Zack.” Tangannya dihulurkan untuk berjabat tangan denagn Hashim. Senyuman
terukir di wajahnya.
Mereka
berjabat tangan. Senyuman mesranya menenangkan Hashim. Tetapi ada sesuatu yang
tidak kena dengan budak Zack itu. Dia seperti terlalu baik.
Hashim
dan Zack berbual mesra. Sekilas pandang, Hashim terpandang seseorang sedang
memerhatikan mereka. Wajah itu dapat dikenalinya. Ain, detik hatinya. Tetapi
apa yang dia mahu. Wajahnya risau.
Tiba-tiba,
satu cahaya berkelip terang. Ain menghilangkan diri. Tum, kilat menyambar bumi.
Hashim terkesima seketika. Awan mula menangis. Perbualan mereka berhenti
seketika. Guruh berdentum. Mungkinkah Ain melarikan diri kerana takut akan
bunyi guruh.
Seorang
lelaki bertubuh janggai meluru masuk ke dalam kelas itu. Bajunya basah kuyup.
Zack mengangkat tangan ke arahnya. Lelaki itu mengangkat tangan kembali lalu
meletakkan begnya di tempat duduknya sebelum menghampiri Zack dan Hashim.
“Kenalkan.
Ini Aril. Kami berdua memang kawan baik sejak kecil. Membesar bersama.” Bahu
Aril ditepuk. Mereka kelihatan mesra bersama. Memang serasi. Mereka ketawa
kecil. Bunyinya sedikit jahat.
Kelas
itu mula dipenuhi murid. Sesi pengajaran dan pembelajaran bermula. Apabila
waktu rehat tiba, Hashim duduk berseorangan di dalam kelas. Fikirannya melayang
gembira. Sebuku kegusaran yang menetap di hatinya bagaikan sudah lenyap dengan
serta-merta. Satu wajah menjenguk ke kelas sebelum melangkah masuk ke dalam
kelas itu. Susuk tubuh itu mendekati Hashim.
Hashim
tersentak. Seorang perempuan bertudung kemas memandang ke arahnya dengan
kehairanan. Keningnya terangkat. Muka Hashim berona merah. Malu. Ditambah
segan.
“Apa
yang awak buat di sini?” Hashim tersipu-sipu.
Ain
meletakkan jari telunjuk pada mulutnya. “Cakap perlahan sikit,” bisik Ain.
“Saya ada perkara penting mahu beritahu kepada awak.” Mukanya serius. Hashim
menjadi tertanya-tanya. Mulutnya dikunci rapat.
“Saya
menjadi kurang senang melihat awak semakin rapat dengan Zack dan Aril.”
“Kenapa?”
Dahinya berkerut.
“Sebenarnya….”
Satu
suara mencelah. “Apa awak berdua buat?” Susuk tubuh berpakaian kemeja biru
menghampiri mereka. “Ikut saya ke bilik guru disiplin.”
Tangan
Hashim disentap. Mukanya mula berpeluh. Hashim cuba melawan. “Apa salah saya?”
“Awak
didapati melanggar peraturan sekolah kerana berdua-duaan dan berada di dalam
kelas pada waktu rehat.”
“Kami
tak lakukan apa-apa.” Ain mula gelisah.
“Usah
berdalih lagi.”
Mereka
bertiga bertikam lidah buat seketika. Keadaan mula menjadi hening apabila satu
susuk tubuh yang lebih besar masuk. Menurut cara pemakaiannya, sudah jelas dia
bukan serang murid. Misainya yang tebal diurut lembut. “Apa yang bising sangat
di sini?”
*****
Hashim
menunggang motosikalnya dengan laju. Jarum meternya menunjukkan 100km/h.
dahinya berkerut. Mukanya marah. Mungkin dia sedang bergesa ke satu tempat
untuk sesuatu hal yang sangat penting.
Motosikalnya
ditunggang semakin laju. Matanya tertumpu pada seseorang yang sedang memecut
motosikal di hadapannya. Tiba-tiba, kedua-dua motosikal berhenti.
Penunggang
motosikal di hadapan Hashim menunjukkan wajahnya. Aril. Tangannya dihulurkan
untuk bersalaman.
Hashim
tidak mengendahkan Aril. Dia berjalan terus ke arah Zack yang sedang
memerhatikan mereka sambil bersandar pada sebatang pokok kelapa sawit.
“Aku
tahu engkau tak puas hati. Ikut aku jika kaumahu jadi lebih hebat.”
Mereka
bertiga menunggang motosikal mereka semula. Zack tersenyum sinis.
*****
Merenung
ke luar jendela. Mengurung diri di dalam biliknya. Puas sudah dia dimarahi
ibunya setelah berdas-das peluru soalan dilepaskan kepadanya. Kadang-kadang ada
juga rasa sebak menyerang dadanya apabila disalahkan dengan perkara yang tidak
dilakukannya. Namun, Ain mengambil keputusan untuk berdiam diri.
Agaknya
apa yang Hashim lakukan. Dia begitu marah sehingga sanggup melawan cakap bapa
saudaranya. Sikapnya berubah serta-merta. Fikiran Ain runsing.
Sejak pulang ke rumah, dia
asyik memikirkan tentang Hashim. Risau. Dia mungkin akan dipengaruhi oleh Zack
dan Aril nanti.
Tanpa
melengahkan masa lagi, Ain melompat keluar melalui daun tingkap biliknya seraya
bergegas ke rumah Haji Izzuddin selepas mengambil selipar birunya.
*****
“Tempat
apa ni?”
“Inilah
tempat rahsia kami. Hanya kita bertiga yang tahu tentang tempat ini.” Zack
melangkah masuk ke sebuah rumah usang.
Hashim
mula berasa curiga apabila masuk ke rumah itu. Bertimbun-timbun beg plastik
hitam dilonggokkan di satu sudut rumah itu. Beg-beg plastik itu turut dilabel
dengan kemas. Zack muncul semula entah dari mana dan menghulurkan dua biji pil
kepada Hashim. “Pil apa ini?”
“Inilah
rahsia kehebatan kami.”
Pandangan
Hashim tertikam pada dua biji pil tersebut. Pil apakah itu? Rupanya sama
seperti pil kuda. Mungkin pil itu memang pil kuda. Mungkinkah aku menjadi lebih
hebat apabila menggunakan dadah? Atau perkara sebaliknya akan berlaku? Tetapi
mengikut pengetahuan aku, penagih dadah akan mengalami banyak perubahan. Selain
menhidap pelbagai jenis penyakit, badan mereka akan yang berisi akan berubah
menjadi kurus.
Tangannya
dihulurkan perlahan-lahan untuk mengambil pil itu. Pil itu ditelitinya dengan
lebih dekat. Betul. Ini memang pil kuda. Patutkah aku makan pil ini? Betulkah
kemegahan sebagai seorang penunggang motosikal yang aku cari selama ini? Hashim
berfikir sedalam-dalamnya. Fikirannya terhenti di satu fail memori hari
terakhir bersama ahli keluarganya.
Hashim
berbaring di atas sofa di ruang tamu rumahnya. Tenang. Jam berdetik pukul 2
petang. Dia mengambil kunci motosikalnya yang tersangkut pada dinding lalu
keluar menjemput adiknya di taska.
Dalam
perjalanan balik ke rumah, Hashim memecut motosikalnya. “Abang, janganlah laju
sangat. Kita tak pakai topi keledar, nanti terbabas. Bahaya,” rungut adiknya.
Lampu
trafik menunjukkan warna merah. Hashim menghentikan motosikalnya. Seorang
lelaki menghentikan motosikalnya di sebelah Hashim. “Jom lumba. Aku tengok laju
juga engkau pecut tadi.”
“Kalau
tak takut marilah.”
Lampu trafik bertukar hijau.
Kedua-dua motosikal memecut laju. “Abang, adik takut.” Adik memeluknya erat.
Hashim membisu. Fokus pada
jalan raya. Tiba-tiba, motosikalnya hilang kawalan. Dia terjatuh dari
motosikalnya apabila cuba mengelak daripada melanggar lori. Adiknya masih
berada di atas motosikal. Motosikal itu menuju ke arah sebuah kereta.
Kereta itu cuba mengelak
namun terpaksa merempuh pembahagi jalan. Pemandunya pengsan. Darah Adik
membasahi jalan raya. Tangki minyak kedua-dua kenderaan itu bocor. Api mula
menyenggau kedua-dua kenderaan itu. Tiada orang yang berani mendekati mereka.
Hashim menangis melihat
adiknya. Kesedihan itu ditambah pula apabila dia menyedari bahawa kereta yang
merempuh pembahagi jalan itu adalah kereta Ayah.
“Ayah! Ibu! Adik!” Hashim
menjerit sekuat hati.
“Hashim!”
Hashim tersentak. Zack
sedang merenung tajam ke arahnya. Keningnya jelas menunjukkan kemarahan dan
ketidak sabarannya. Dia mengeluh panjang.
“Makanlah cepat!”
“Aku dah puas. Aku tak mahu
menjadi pelumba haram seperti engkau. Aku dah tak mahu menjadi duri di jalanan
yang hanya menyusahkan orang lain.” Hashim mencampakkan kedua-dua biji pil itu
ke tanah.
Muka Zack merah padam.
“Engkau akan terima akibatnya.” Zack menerkam ke arah Hashim.
Hashim
berjaya menempis terkaman Zack lalu berlari mendapatkan motosikalnya. Dia
memecut laju.
*****
“Pak
cik, Hashim ada?” kegelisahan jelas terpampang pada wajahnya.
“Tiada.
Jemputlah masuk dahulu.” Pak Lang dan Ain melintas jalan raya di hadapan
rumahnya. Bunyi bising hinggap di telinga mereka. Langkah mereka terhenti.
Hashim
memecut motosikalnya laju ke arah Pak Lang dan Ain sementara di belakangnya
Aril dan Zack masih mengejarnya. Tiba-tiba, sebuah lori menghalang jalan Aril
dan Zack sementara motosikal Hashim masih menuju terus ke arah Pak Lang dan
Ain. Motosikal mereka bertiga hilang kawalan. Darah berpercikan merata-rata di
jalan raya.
Cerpen yang menyertai Pertandingan Menulis Cerpen Sekolah Menengah 2013
ReplyDelete